25 tahun memali

25 tahun memali

Friday, September 3, 2010

25 tahun Memali dalam kenangan

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

November depan, genap 25 tahun Peristiwa Memali terakam kukuh dalam sejarah negara. Mungkin tiada perayaan jubli perak meraikannya namun ia tetap diingati, dari perspektif yang mungkin berbeda-beda.
Ketika darah Ustaz Ibrahim Mahmud, atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya, tumpah ke bumi bersama 13 orang anak muridnya, saya berada di tahun akhir Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Sebagai Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa UTM, saya diminta rakan-rakan untuk meninjau lebih dekat tragedi yang ditohmahkan pemimpin kerajaan BN sebagai berpunca daripada "ajaran sesat" dan "melindungi penjenayah".

Ustaz Ibrahim yang mahu ditahan melalui ISA sama sekali tidak mengalah. Beliau menentang akta zalim itu bukan dengan memorandum atau demonstrasi, tetapi mempertaruhkan nyawanya. Dan ini merupakan satu rekod "termahal" dalam usaha menyanggah ISA, yang kini dikenali sebagai kempen "mansuh bukan pinda".

Nama Ustaz Ibrahim tidak asing bagi saya. Sebagai anak Kedah, saya biasa mendengar cerita tentang ketegasan dan kelantangannya. Apabila mendengar daleh Menteri Dalam Negeri, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam tentang rasional "operasi pembunuhan" itu, siang-siang lagi saya menyifatkannya satu pembohongan.

Mana mungkin seorang ulama muda yang ikhlas menabur bakti kepada orang kampung dan menolak kesenangan berkhidmat dengan kerajaan terbabit dengan jenayah yang tidak pernah pun dibuktikan.

Sebaik dirasakan suasana agak reda, saya segera pulang ke kampung di Kubang Pasu, mencari teman untuk Mukim Siong, Baling. Kebetulan sepupu saya pernah belajar bersama adik Ibrahim Libya, Ustaz Ismail di Kelantan.

Dalam perjalanan, kami menempuh banyak sekatan jalan raya. Polis berada di mana-mana. Suasana agak menggerunkan, apatah lagi itulah kali pertama saya melalui jalan pintas ke Baling. Pelbagai soalan terpaksa dijawab (dan saya terpaksa memberi alasan palsu( sebelum kami dibenarkan menghampiri lokasi kejadian.

Memali ketika itu bagai dilanggar garuda. Sunyi sepi. Rumah-rumah ditutup rapat. Hatta tiada kelihatan anak-anak bermain di halaman. Kebanyakan penghuninya ditahan.

Kesan-kesan peluru jelas kelihatan di rumah Ustaz Ibrahim. Kami juga ditunjukkan bekas darah. Saya mengambil masa agak lama memerhatikan suasana sekitar rumah bersejarah itu.

Di satu sudut di belakang rumah Assyahid, saya terpaku diam, cuba membayangkan tragedi berdarah itu. Tanpa sedar air mata mengalir. Sungguh pilu. Menusuk jauh ke dalam kalbu.

Mulanya saya menjangkakan rumah yang diserang ketumbukan polis dengan bantuan kereta perisai dan helikopter itu jauh di pinggir hutan, rupanya betul-betul di tepi jalan utama. Jauh sekali daripada sangkaan bahawa Baling masih dikepung komunis.

Dua tahun kemudian, 1987, semasa bertugas di Harakah, sekali lagi saya berkunjung ke sana, bersama Aris Awang, pemberita sambilan Harakah ketika itu. Aris pernah dilantik Setiausaha Perhubungan PAS Kedah beberapa tahun lalu.

Saya diminta menyiapkan satu makalah khas tentang Memali, yang kemudiannya diberi tajuk Percikan Darah Syuhada. Ibrahim Libya tergolong bersama rentetan nama para syuhada

Bersama Aris saya bermalam di sana, dan sempat beramah mesra dengan warga Memali, antara lain dengan "penjenayah yang cukup dikehendaki", seperti didakwa Musa Hitam. Peliknya beliau tidak pula ditangkap dan didakwa di mahkamah.

Sejurus balik ke Kuala Lumpur dan berjaya menyiapkan makalah berkenaan, satu tangkapan borong besar-besaran di bawah ISA dilakukan pada penghujung Oktober 1987, Operasi Lalang.

Mulanya agak keberatan juga Harakah mahu mengedarkannya bimbang ia dijadikan alasan untuk menjadikan senarai tangkapan lebih panjang. Selepas mengadakan perbincangan, satu halaman terpaksa digunting.

Memali kembali dekat apabila saya diperkenalkan dengan Ustaz Ismail, adik Assyahid bagi merawat "penyakit misteri" saya pada tahun 2001. Beliau mudah diajak berbual. Antara topiknya adalah peristiwa berdarah itu juga. Selain "berubat", Ustaz Ismail merupakan teman bercerita.

Kami kerap berbicara soal Memali, suka dan duka, tetapi lebih banyak kisah sedih yang terungkap. Beliau yang meninggal dunia secara tiba-tiba pada Februari 2009, selalu juga menyebut nama anak sulung Ibrahim Libya, Mohd Islah, yang kebetulan tinggal di sekitar Sungai Buloh, tidak begitu jauh dengan rumahnya di Kuang.

Sehinggalah pada minggu lepas, ketika bekas tahanan ISA, Cikgu Zainon Ismail (CN Al-Afghani - saya pernah menerbitkan beberapa bukunya mengenai pengalaman beliau di Afghanistan) menziarahi saya, juga untuk menerima sumbangan tabung Dewan Muslimat PAS Pusat dengan kerjasama Harakah, mewakili keluarga yang memerlukan di Memali, nama waris Assyahid Ibrahim Libya muncul kembali.

Cikgu Non yang juga pernah bertugas dengan Harakah, memberitahu, Islah kini menjadi mudir di sebuah tahfiz dekat Kubu Gajah, Sg Buloh.

Pagi itu, 30 Ogos, saya cukup gembira dapat bertemu wajah anak sulung Assyahid bersama Saleha Husin. Lot 1855, Jalan Gajah 24 itu cukup nyaman dan tenang. Sesuai sekali untuk pelajar tahfiz. Kawasannya pula luas, 2 ekar. Islah ceria bercerita tentang impian membesarkan lagi Maahad Tahfiz At-Taqwa yang diasaskan seorang usahawan.

Saya lebih teruja apabila dimaklumkan cawangannya akan dibuka di Memali sendiri. Bagi saya, waris Ibrahim Libya perlu meneruskan tradisi di kampung bersejarah itu. Sekurang-kurangnya Memali akan dikenali sebagai pusat keilmuan yang dihormati, dan saya kira itu juga satu impian Assyahid.

Islah ketika bapanya gugur syahid berumur 9 tahun, belajar di Dehrang, Kedah, sebuah pusat pengajian Islam di bawah Ustaz Nikmat Yusof. Detik-detik getir 25 tahun lalu masih kejap dalam ingatannya, terutama bagaimana beliau "dilarikan" ke Kelantan.

Harapan saya mahu membaca satu catatan daripada Islah sendiri tentang kembara hidup bersama empat lagi adik-adiknya, Mohd Ihsan, Mohd Irsyad Zamani, Niswah Hasina dan Nurul Syuhada.

Sumbangan untuk Maahad Tahfiz At-Taqwa boleh disalurkan ke dalam akaun Maybank 562085515936 atas nama Ehsani Enterprise.

KENANGAN ANDA