25 tahun memali

25 tahun memali

Thursday, April 23, 2009

Sorotan Memoir Jihad Anak Melayu di Afghanistan

memoir-jihad2



Sesungguhnya segala puji dan puja milik Allah SWT , Tuhan yang mengurniakan kita dengan nikmat yang paling tuntas, kita memohon kepadaNya daripada rasa kebergantungan kepada thaghut dan bermanis muka dengan jahiliah moden. Selawat dan Salam buat Rasul junjungan yang telah menunjukkan kepada kita jalan jihad yang panjang ini, yang telah bermandi darah dan berkubang jerih keringat memacu perjuangan sehingga Islam bergema di seluruh belahan dunia ini.

Islam yang kita cintai ini tidak pernah dibiarkan diterjah oleh musuh tanpa pembelaan daripada pencintanya di sepanjang zaman. Semakin kuat Islam dihimpit semakin ramai pejuang yang tampil membela walaupun terpaksa dibayar dengan harga yang mahal seperti pembantaian, pemenjaraan, pembunuhan serta diusir dari tanah leluhur. Allah SWT tidak membiarkan Islam tanpa para pembela di mana tentera Allah ini akan muncul pada saat Ummah merintih dan ketika golongan mustadh’afin bersimpuh memohon pertolongan langit.

Secara geografinya negara Afghanistan terletak di selatan benua Asia dan sangat strategik kerana menjadi penghubung antara benua melalui jalan daratnya. Bumi Afghanistan merupakan bumi umat Islam yang menjadi sebutan dalam beberapa dekad ini. Bumi yang terpuruk daripada kemudahan moden dengan dilatari bukit-bukit kontang, dihuni manusia yang lasak dengan pelbagai etnik yang kuat berpegang kepada agama dan budaya mereka .
Wilayah tandus kontang ini meletakkan namanya diingati oleh dunia kerana kekentalan semangat juang anak peribuminya menentang penjajah British sehingga tentera British akur dengan kekalahan. Satu tamparan maha hebat kepada pemilik ‘pax-Britanica’, tersemban di kaki para mujahidin. Pada tahun 1979 atau secara tepatnya pada 31 Disember 1978 pula Afghanistan telah diterjah oleh kuasa Russia (yang menjadi saingan kepada Amerika). Penaklukan ini telah menyebabkan berbondong-bondong pemuda Islam dari seluruh belahan dunia datang untuk memangku senjata, berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir. Serangan Russia ini merupakan kali keempat negara komunis itu menyerang negara luar selepas Revolusi Bolshevik. Kali pertamanya ialah negara Jerman Timur pada tahun 1953, kemudiannya Hungary pada tahun 1956 dan selanjutnya Czechoslovakia pada tahun 1968.
Terdapat beberapa faktor serangan ini dilakukan terhadap Afghanistan seperti untuk memintas kebangkitan Islam yang berlaku. Afghanistan terkenal kerana rakyatnya yang beragama dan ini akan mempengaruhi 50 juta rakyat Russia di wilayah Asia Tengah yang beragama Islam (Azerbaijan, Kazakhtan dan Turkmenia). Sebelum Afghanistan diserang, perang pemikiran telah dilakukan oleh Russia di Afghanistan seperti membina kolej-kolej dan sekolah-sekolah. Melalui elemen pendididkanlah fahaman komunis telah ditebarkan. Soviet Gerakan sulit komunis telah ditubuhkan dan mula melakukan pengkhianatan serta konspirasi yang sistematik. Antaranya agen sulit Russia telah membunuh raja Afghanistan iaitu Daud Shah. Kemudiannya Nur Muhd Taraki telah dilantik sebagai raja yang baru dan beliau juga dibunuh. Selepas itu, Babrak Kamal telah dilantik sebagai raja (boneka). Pemerintahannya telah menyerap fahanaman komunis dan menjemput penaklukan Soviet.

Bermula saat-saat yang mengerikan kepada umat Islam Afghanistan, langitnya mula bertukar merah saga, deru anginnya ialah suara kesakitan dan kejerihan umat Islam , hujannya ialah airmata duka kanak-kanak yang kehilangan bapa dan tangis rawan wanita –wanita yang kehilangan suami. Rumah-rumah Allah tempat berkumandang Al-Quran dan zikir mula diceroboh dengan biadap malah diratakan dengan bulldozer, pembunuhan beramai-ramai telah dilakukan seperti dikambus hidup-hidup. Golongan agama seperti alim ulama dan intelektual Islam diintai oleh sang algojo samada daripada kalangan Russia atau puak munafik Afghanistan sendiri. Desa-desa dibakar dengan rakus bahkan digunakan gas-gas beracun untuk meratah nyawa umat Islam yang tidak bersenjata. Jet-jet canggih Russia telah memuntahkan pelurunya tanpa sekelumit belas kasihan terhadap orang awam , pembantaian ini sangat meruntun perasaan , tiada bahasa yang dapat diluahkan untuk mengambarkan kesakitan dan kepedihan yang mendalam ini.
Rakyat Afghanistan mula bergerak meninggalkan kampung halaman untuk mencari perlindungan diri di sempadan Pakistan dan Iran. Jutaan pelarian ini telah mengungsi negara Pakistan dan menjadikan jumlah pelarian perang paling ramai dalam dunia sehingga menimbulkan masalah baru kepada Pakistan untuk “menyuap” pelarian ini serta masalah sosial yang lain yang muncul terutama di wilayah sempadan. Namun, General Zia Ul Haq memberikan perhatian dan kasih sayang terhadap umat Islam Afghanistan ini.
Dalam mengisi penghijrahan mereka ke atas Afghanistan, Russia telah memperalatkan pemimpin tempatan seperti Hafizullah Amin dan Babrak Kamal. Umat Islam telah diindoktrinkan dengan fahaman komunis secara besar-besaran melalui sistem pendidikan yang diceduk dari Russia, mimbar-mimbar masjid telah dijadikan alat menuangkan propaganda kepada rakyat, pergaulan bebas , muzik dan arak dibudayakan kepada rakyat tempatan. Kebudayaan kafir yang lucah dan murahan dipaksa terhadap rakyat malah 20,000 biasiswa telah diberikan kepada belia dan para pemuda tempatan untuk menyambung pelajaran ke Russia dan negara-negara komunis yang lain. Pelajar ini diharapkan akan menjadi agen penebar ‘kesesatan marxisme’ apabila pulang ke tanahair serta menjadi alat politik mereka untuk terus menguasai Afghanistan.
Tidak cukup dengan darah dan besi, Russia dan munafikin tempatan ini cuba pula untuk meracuni rakyat dengan slogan dan warna Islami seperti mengubah warna latar bendera Afghanistan daripada bewarna merah kepada warna hijau (1980), usaha ini untuk menarik kembali sokongan rakyat dan mengambus kejahatan mereka dalam tahun pertama penjajahan. Dalam masa yang sama , tokoh-tokoh ulama dan aktivis Islam telah digiring ke penjara dan mengalami penyiksaan , dirogol oleh tentera Soviet. Russia daripada semasa ke semasa terus menambahkan jumlah kekuatan anggota tenteranya. Pada tahun 1981 sahaja seramai 95,000 orang tentera Russia telah berada di Afghanistan. Kanak-kanak dan wanita tidak terkecuali daripada menjadi mangsa pembantaian yang tragis ini , bukit bukau serta gunung ganang yang kontang telah menjadi saksi bisu akan kekejaman ‘Beruang merah Russia’ dalam abad 20 ini yang akhirnya telah menjadi barometer kepada kebangkitan Islam sejagat.
Kesan daripada kezaliman inilah maka seruan jihad telah dilancarkan oleh para alim Ulama , genderang perang mula ditabuh sahut menyahut di seluruh belahan bumi. Maka, berpusu-pusu insan beriman menyahut panggilan jihad ini. Menurut Fadhal Mohammad (2001), fatwa jihad di Afghanistan ini julung kalinya telah dikeluarkan oleh Sheikhul Hadith Pakistan iaitu Maulana Abdul Haq dan Hadrat Mufti Mahmud. Kesannya ialah Ulama dan pelajar-pelajar madrasah ialah kelompok terawal yang bangun menentang soviet walaupun bermula dengan senjata yang ala kadar.
Ulama-ulama yang soleh yang cintakan kepada kemuliaan Islam telah berani bersuara, membacakan firman-firman Allah tentang jihad dan kelebihannya serta menghuraikan hadith-hadith Nabi SAW yang yang akhirnya telah merangsang semangat jihad pemuda Islam.
Antaranya firman Allah:
Kamu Diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara Yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
(Surah Al-Baqarah: 216)
Oleh itu, orang-orang (yang beriman) Yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam). dan sesiapa Yang berperang pada jalan Allah lalu ia mati (gugur Syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala Yang besar.
( Surah An-Nisa’ : 74 )

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela ugamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh.
( Surah As-Saf : 4 )

Dan jangan sekali-kali Engkau menyangka orang-orang Yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (Mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka Dengan mendapat rezeki; (Dan juga) mereka bersukacita Dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) Yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira Dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam Yang sedang berjuang), Yang masih tinggal di belakang, Yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (Iaitu) Bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Mereka bergembira Dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), Bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang Yang beriman.
( Surah Ali-Imran : 169-171)

Hadis-hadis
Dari Abu Hurairah Radiallahu anhu, orang mengatakan; Wahai Rasulullah! Apakah dia yang sama dengan jihad fi Sabilillah? Sabda Baginda: Kamu tidak akan mampu melakukannya. Mereka pun mengulangnya pada Baginda dua atau tiga kali. Setiap kali baginda mengatakan kamu tidak akan mampu melakukannya. Kemudian baginds bersandfa : “Bandingan seorang Mujahid fi Sabilillah ialah seperti seorang yang berpuasa, bersembahyang dan membaca al-Quran, di mana ia tidak memutuskan puasanya dan sembahyangnya sampailah seorang Mujahid itu balik.”
( Riwayat yang Enam kecuali Abu Daud )

Dari Sahl bin Hunaif Radiallahu anhu katanya: Rasulullah SAW bersabda: “ Sesiapa yang memohon kepada Allah Taala dengan sebenarnya untuk mati syahid, Allah pasti menyampaikannya ke darjat para syuhadak, meskipun ia mati di tempat tidurnya.”
( Riwayat yang Lima kecuali Bukhari )
Daripada Miqdam bin Ma’di Karib katanya: Rasulullah SAW telah bersabda : “ Bagi orang yang syahid itu di sisi Tuhannya ada enam keistimewaan: allah mengampunkannya di awal (darahnya mengalir); diperlihatkan tempatnya di syurga; dilindungi dirinya daripada azab kubur; diamankan daripada kejutan besar kiamat; diletakkan di atas kepalanya makhota kesatria, sebuitir batu yakut dari makhota itu sahajapun sudah lebih baik daripada dunia dan seisinya; dikahwinkan dengan tujuh puluh dua orang isteri dari bidadari; dan diberikan syafaat kepada tujuh puluh orang kerabatnya.
( Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah )
Ayat-ayat Allah dan huraian hadith Nabi SAW telah memacu semangat juang para mujahidin ini dan akhirnya sedikit demi sedikit Russia mula terpanggang dengan kesombongan mereka sendiri, tentera Russia yang cinta kepada kehidupan yang terpaksa berdepan dengan para mujahidin yang cinta kepada kematian dengan cara yang paling seni. Kesyahidan mula menjadi mimpi indah kepada pemuda-pemuda Islam manakala seruan jihad seolah-olah lambaian para bidadari syurga yang indah nian, sedang menanti di atas dipan emas.
Perjuangan mujahidin telah menjadi fokus lensa kamera, media yang dikuasai oleh Amerika memperbesarkan skop berita mujahidin dengan tujuan untuk memperlekehkan kekuatan musuh mereka, Russia, malah dengan dongengan bahawa CIA menaja gerakan-gerakan mujahidin. Mitos dan khayalan dibentuk melalui filem ‘Rambo” bagaimana kelicikan dan kehebatan tentera Amerika membantu mujahidin Afghanistan. Perjuangan mujahidin ini mempunyai ikon mereka yang tersendiri seperti Dr Abdullah Azam, Usamah Bin Laden bahkan dasar luar Jeneral Zia Ul Haq banyak membantu para pejuang Islam di Afghanistan.
Usamah Bin Laden sebagai contoh merupakan seorang hartawan yang terlibat secara langsung dengan jihad di Afghanistan. Jutawan kelahiran Saudi ini dalam satu masa telah menginfakkan sebanyak 30 juta riyal kepada gerakan-gerakan mujahidin yang dipimpin oleh Hekmatyar, Rabbani, Sayyaf dan Ahmad Shah Masoud. Mujahidin juga akhirnya mula dilengkapi dengan senjata –senjata moden manakala Dr. Abdullah Azam telah menginspirasi ramai pemuda Islam untuk memikul senjata di bumi jihad ini dengan syarahan dan juga tulisan-tulisan beliau yang berani tentang jihad. Dr Abdullah akhirnya telah dibunuh syahid dalam peristiwa pengeboman keretanya yang dirancang oleh musuh Islam.
ii)
As-Syahid Fauzi Ismail merupakan anak muda Melayu yang telah monoreh sejarahnya yang tersendiri walaupun dilahirkan di negara yang sarat dengan pesta hiburan dan kebejatan akhlak anak-anak muda. Menelusuri kisah perjalanan beliau memburu keredhaan Allah dan kesyahidan menyebabkan palong hati kita bergetar kesyahduan seterusnya tanpa sedar mengundang titik jernih mengalir di kedua-dua belahan mata kita.
Beliau mendapat didikan asas secara formal sehingga SPM dan menekuni fikrah perjuangan Islam daripada halaqah-halaqah ilmu secara tidak formal sehingga beliau merasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk mewakafkan diri beliau dalam perjuangan Islam sehingga Syahid. Fauzi merasa ditusuk sembilu tajam apabila membaca berita-berita daripada kolum akhbar tentang pembantaian dan pembunuhan umat Islam Afghanistan, semangat beliau juga bergelora dilambung dengan huraian tentang kelebihan jihad oleh para asatizah di jalan dakwah yang beliau sertai di tanahair.
Terlalu istimewa lelaki syurga ini untuk kita menatap sejarah hidup dan perjalannya. Seorang anak muda tipikal yang lahir dalam keluarga yang sederhana, meraih rezeki dengan berniaga secara runcitan di kedai kecilnya, manakala waktu terluang digunakan untuk mendalami ilmu agama dan fikrah harakiah. Keazamannya untuk mencari Redha Allah sangat luar biasa, bermotosikal meredah arus malam setiap malam untuk bertugas mengawal tapak muassasah, berkelana ke Perak untuk mencari biaya ke bumi Jihad, menjual keperluan hidupnya yang menjadi nadi kepada kehidupan beliau selama ini, kedai runcit dan motorsikal semata-mata untuk menampung kos perjalanan ke bumi Jihad.
Fauzi yang digambarkan dalam memoir ini adalah pemuda yang sentiasa ceria menguntum senyuman, boleh “berlebihkurang” dengan teman-teman, tidak mementingkan diri demi melihat perjuangan Islam berjaya. Sebuah potret peribadi yang luhur bagi melengkapkan syarat peribadi sang daie dan pejuang.
Apabila membaca catatan memoir ini, kita akan merasa hanyut dalam gaya penceritaan yang bersahaja, cuma secara peribadi saya merasakan perlu banyak lagi sudut-sudut kehidupan Fauzi perlu disoroti oleh penulis bagi mengukuhkan jalan cerita. Mungkin ada kebimbangan melebarkan jalan cerita memoir ini bermakna membuka ruang para mujahidin dizalimi oleh regim umat Islam dan inilah hambatan terbesar Cikgu Non untuk melengkapkan gambaran penuh memoir ini.
Apapun memoir ini akan mengingatkan kita kepada kekentalan jiwa seorang pemuda Melayu yang sanggup berdada dengan musuh. Secara luarannya tidak ada yang istimewa dengan anak muda ini. Lulusan SPM dari sekolah menengah harian biasa, bekas buruh pembinaan di Singapura, tidak menguasai bahasa Arab, anak kampung yang sederhana, namun beliau telah kembali menghadap Allah SWT dengan seni kematian yang sangat mulia. Fauzi dilahirkan dalam keluarga yang sangat cinta kepada agama, ibu dan bapanya sangat istiqomah dengan amalan wajib disamping amalan-amalan sunat seperti berpuasa sunat dan membaca Al Quran. Dengan latarbelakang keluarga sebeginilah yang telah mencorakkan keperibadian Fauzi.

Menemui Allah dengan kesyahidan adalah cita-cita setiap Muslim dalam rangkuman doa kita setiap kali bersimpuh, menitip doa pada Allah supaya dimatikan sebagai syuhada (berapa ramai pula yang berbohong ketika meluncurkan kalimah doa ini kerana memperjuangkan berhala sekularisme pragmatis dan menentang Syariat Islam).
Anak muda bernama Fauzi Ismail ini sentiasa merasa curiga dengan kemewahan hidup dan kebahagiaan perkahwinan kerana merasa bimbang diri beliau akan gugur dalam perjuangan. Keinginan beliau begitu membuncah untuk melihat kemenangan Islam di tanahair, bumi leluhur yang menyimpan uri-uri beliau, merasa kepedihan dan kesakitan yang mendalam apabila mendengar umat Islam yang disakiti dan dibantai oleh musuh Islam.Beliau merasa bersalah yang amat sangat jika tidak tampil membantu umat Islam yang sedang diterjah oleh kafir di bumi Afghanistan.
Fauzi adalah jelmaan generasi muda para sahabat yang sanggup meninggalkan keseronokan dunia yang menyihir mata hati anak-anak muda. Beliau permata di tengah lumpur hitam arus hedonisme yang dirancang oleh musuh Islam
Beliau muncul pada akhir zaman yang terpisah jauh dengan generasi Al-Quran yang telah melahirkan manusia hebat seperti Mus’ab bin Umair, pembawa panji Islam di medan Uhud yang akhirnya gugur sebagai syuhada’, Abdullah bin Abi Rawahah sang penyair Islam bergelatakan syahid di medan Mut’ah, Jaafar Abi Talib berkelana ke syurga dengan kedua-dua belah tangannya dipotong musuh. Hanzalah bin Abu Amir syahid dengan meninggalkan isteri yang baru disentuhi. Fauzi telah meletakkan namanya dalam senarai panjang syuhada di sepanjang zaman yang tidak akan dimungkiri janji oleh Rabbul Izzati:

Di antara orang-orang Yang beriman itu, ada Yang bersikap benar menunaikan apa Yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada Yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada Yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (Apa Yang mereka janjikan itu) sedikitpun. ( Surah Al-Ahzab : 23 )

Fauzi adalah cerminan kepada potret kehidupan kita hari ini, saat menelusuri sejarah perjuangan hidup kita seolah-olah mengejek diri kita sendiri yang semakin di lambung badai kecintaan kepada kehidupan dunia, kecintaan pada rumah agam, kenderaan yang berprestij, anak pinak semakin membusung dalam palong hati kita. Ukhuwwah Islamiyyah mula menjadi mainan bibir tanpa makna- kosong. Sekosong bekas hati kita yang mula menjauhi jihad. Istilah jihad mula menjadi stigma yang menakutkan malah terasa ia akan memenggal keseronokkan hidup daripada kita. Alangkah kerdilnya jiwa kita saat Ummah memerlukan para daie dan pejuang yang sanggup berselut lumpur di medan masyarakat, membasmi kejahilan dan buta agama .
Kita menari dengan gendang yang dipalu oleh musuh, apabila musuh menyamakan jihad dengan keganasan (terrorisme) maka kita diam termanggu. Terminologi jihad mula diselewengkan dan dikaburkan oleh kuffar dan munafik lantas kita terseret dengan cuba mewajahkan diri kita dengan “kesederhanaan”.
Semangat Fauzi akan terus menyala dalam sanubari kita, memadam api kecintaan pada hidup, mencairkan salju kemalasan berjuang, menyentak seluruh lamunan dan khayalan yang berwarna-warni, menyahalir seluruh toksid kemunafikan dalam aliran darah. Jika ada generalisasi bahawa orang Melayu penakut maka tanggapan mereka silap kerana Fauzi dan teman—temannya sanggup berdada dengan musuh, kuasa besar dunia, ribuan batu jauh dari tanahair. Dia berkelana ke alam abadi dalam burung-burung hijau di taman-taman syurgawi saat ribuan anak-anak muda Melayu yang lain mati bergeletakan di atas aspal basah dalam perlumbaan haram, ribuan yang lain mati dengan darah tersalir dengan virus HIV atau terenjat saraf akibat pengambilan dadah yang berlebihan.
Roh Fauzi sedang menatap wajah dunia Islam yang suram, yang menyaksikan darah merah tumaph dimana-mana; Palestin, Lubnan, Iraq, Kashmir, Selatan Thailand, Mindanao, Ambon dan Kosova.
Wahai orang-orang Yang beriman! mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: “Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah”, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka Dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding Dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak. Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah - membela ugamanya), Allah akan menyeksa kamu Dengan azab seksa Yang tidak terperi sakitnya dan ia akan menggantikan kamu Dengan kaum Yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka Sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, Iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di Dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah Engkau berdukacita, Sesungguhnya Allah bersama kita”. maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya Dengan bantuan tentera (malaikat) Yang kamu tidak melihatnya. dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah Dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) ialah Yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada Dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun Dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah Dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.
( Surah At- Taubah : 38-41)

Rohnya sednag beristirehat di taman-taman syurga dengan jutaan keindahan yang mengasyikkan.
iii) Pasca kemenangan Mujahidin
Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang Dengan disertai oleh ramai orang-orang Yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa Yang telah menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang Yang sabar. Dan tidaklah ada Yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa Dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! ampunkanlah dosa-dosa Kami dan perbuatan Kami Yang melampau Dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian Kami (dalam perjuangan); dan tolonglah Kami mencapai kemenangan terhadap kaum Yang kafir. Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia (Kemenangan dan nama Yang harum), dan pahala akhirat Yang sebaik-baiknya (Nikmat syurga Yang tidak ada bandingannya). dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang Yang berbuat kebaikan.
( Surah Ali-Imran : 146-148)

Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram Dengan bantuan itu. dan (ingatlah bahawa) pertolongan Yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Surah Ali-Imran : 126)
Selepas perang jihad yang berlangsung selama 10 tahun, maka akhirnya Russia telah menyerah kalah, bumi Afghanistan telah menjadi ‘Vietnam’ bagi Russia, ribuan nyawa tenteranya melayang untuk menerima azab Jahannam manakala ribuan syuhada berkelana ke alam abadi dengan disambut hangat para bidadari. Laungan takbir dan tahmid berkumandang di seluruh belahan dunia Islam menyambut kemenangan para mujahidin pada tahun 1989. Namun perlu diingat bahawa musuh Islam sama sekali tidak akan membenarkan tegaknya pemerintahan Islam di atas muka bumi ini. Amerika Syarikat dan Russia dalam bulan Disember 1986 telah mengadakan pertemuan ‘superpower summit’ yang meluluskan usul untuk tidak membenarkan berdiri sebuah pemerintahan Islam di Afghanistan selepas pengunduran Russia.
Kemenangan mujahidin telah menyebabkan beberapa kesan jangka pendek dan jangka panjang seperti kesan teori domino (kejatuhan satu tapak akan menyebabkan kejatuhan tapak-tapak yang lain), pengaruh Islam fundamentalis dengan pantas telah merebak ke Asia Tengah dan ini sangat membimbangkan kuasa –kuasa besar dunia:
“Russian policy in Asia is greatly influenced by fear of Islam and particularly of a general uprising among Russian owns muslim subject in the event of war between Russia and a muslim power (Tahir Amin:1982)
Afghanistan telah mengalami percaturan yang hebat terutama akibat intrig sesama sendiri sehingga melupakan kejerihan perjuangan sebelum daripada itu sehingga memaksa gerakan-gerakan Islam dunia berhimpun di Afghanistan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah negara baru ini. Afghanistan juga menghadapi masalah berpunca daripada anasir-anasir komunis yang masih memegang jawatan –jawatan penting dalam kerajaan, contohnya Jeneral Dustom yang berfahaman komunis telah menguasai Bandar Mazar Syarif dan enam buah negeri lain di utara Afghanistan.
Negara-negara kuffar telah menggunakan PBB untuk menyediakan plan bagi negara yang baru bebas daripada penjajahan Russia ini, Prof. Mujaddidi telah dilantik sebagai Presiden selama dua bulan sebelum diserahkan kepada Prof. Burhanuddin Rabbani untuk tempoh selama enam bulan dan selepas itu pilihanraya akan diadakan. Keadaan di Afghanistan tidak stabil akibat ketidaksepakatan pimpinan yang mula dipecahkan dengan sentimen kepuakan, dalam masa yang sama puak komunis telah mengambil kesempatan untuk memperkukuhkan kuasa mereka.
Jenayah mula meningkat serta keselamatan rakyat mula dijurang dalam apabila berjalan malam sudah tidak selamat di sebahagian tempat di Afghanistan akibat penguasaan kerajaan yang lemah. Afghanistan seolah-olah diperintah oleh sistem ‘warlordism’ dengan setiap buju diperintah dengan aliran siapa yang berkuasa. Kesannya, maka muncullah akhirnya pergerakan Tholiban, yang akhirnya menjadi fenomena dan sebutan ramai pada awal alaf baru.
Pergerakan pelajar agama ini merupakan wadah pelajar-pelajar lepasan madrasah atau digelar deobandis yang kecewa dengan suasana yang berlaku di Afghanistan. Ketua pergerakan ini ialah Mullah Umar Mujahid yang berasal dari Kandahar dan masih muda (33 tahun) ketika mula memimpin pergerakan ini.
Sejarah awal pergerakan ini di Kandahar hanya bermula dengan 15 sehingga 30 orang sahaja pelajar-pelajar agama namun semakin ramai pula menyertai gerakan ini apabila melihat kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh pelajar ini termasuk menghampiri Spain Buldock. Pertempuran yang dimenangi oleh puak ini dengan pantas mencuri perhatian masyarakat dan dengan janji untuk membawa negara Afghanistan kembali mengamalkan Al-Quran dan Hadith .
Tholiban telah melaksanakan beberapa pembaharuan dengan mengisytiharkan Mullah Umar sebagai Amirul Mukminin, menubuhkan Jabatan Amal Makruf Nahi Mungkar, mengharamkan hiburan yang melalaikan, mengharamkan arak, judi serta tempat-tempat maksiat. Pemerintahan Tholiban telah memberikan reaksi yang pelbagai termasuk daripada kalangan negara umat Islam yang menganggap Tholiban telah memberikan gambaran yang keliru tentang Islam manakala ada yang bersyukur kerana sekurang-kurangnya rakyat boleh bernafas untuk seketika.
Langit rupanya tidak cerah sampai ke petang, begitulah nasib kerajaan yang dibina oleh pelajar-pelajar madrasah ini, apabila mereka terpaksa membayar harga runtuhnya dua buah mercu tanda kapitalisme Amerika Syarikat dalam peristiwa 11 September 2001.Tragedi besar yang dirancang rapi oleh zionis ini dengan mudah dialihkan kesalahan kepada pemerintahan Tholiban yang dituduh melindungi Usamah dan pergerakan Al Qaeda dalam wilayah Afghanistan.
Tholiban tetap bertegas untuk melindungi Usamah dan akhirnya jutaan tan bom telah diranapkan untuk menghancurkan bumi tandus kontang ini. Tulang-tulang berserakan dengan hanyir darah menyimbah daerah-daerah perbukitan, umat Islam Afghanistan sekali lagi menjadi pelarian di Pakistan dan juga Iran.
Dalam masa yang sama, bekas alumni “University Jihad” Afghanistan ini menjadi buruan di negara masing-masing. Jerji penjara dan empat tembok bisu menjadi jawapan kepada pengorbanan mereka berjuang menentang Russia dalam dekad 80an. Algeria, Maghribi, Syiria, Saudi, Mesir, Tunisia dan Malaysia adalah contoh negara umat Islam yang melakukan penangkapan terhadap elemen yang mereka namakan pelampau Islam (irhabi, pengganas, militan).
Iv
Penulis memoir ini, Zainon Ismail (C.N Afghani) mungkin tidak dikenali oleh lapisan baru pecinta dakwah dan gerakan Islam Negara ini. Mungkin kerana tidak ada sorotan lensa kamera dan catatan wartawan merasa perlu untuk merakamkan kisah hidup beliau. Namun sebenarnya beliau pernah mencipta nama dalam dekad 90an hasil daripada tulisan-tulisan beliau mengenai jihad yang telah dituang ke dalam 13 buah buku.
Cikgu Non (nama mesra beliau) pernah menjadi penjawat awam iaitu pendidik di beberapa buah sekolah, yang terakhir ialah Sekolah Menengah Tajar, Alor Setar, Kedah. Cikgu Non juga memesrai anak-anak muda pelbagai lapisan dan pernah memimpin anak-anak muda Islam di Padang Terap. Ketika isu rampasan tanah Muassasah Darul Ulum dalam dekad 80an, beliau dan anak-anak muda yang lain menyingsing lengan berdada dengan pihak yang sentiasa mencemburui hasrat Parti Islam untuk membina kefahaman masyarakat dengan ilmu Islam. Di tapak yang menjadi kontroversi inilah , hari ini berdiri megah kompleks pendidikan Islam Darul Ulum yang diilhamkan oleh Almarhum Ustaz Fadhil Noor.
Beliau pernah menjadi wartawan harakah dan melontarkan kritikan mahupun idea-idea lewat penulisannya di dalam akhbar oposisi tersebut. Keceriaan dan kelasakan beliau bergerak ke seluruh negara dalam menyampai risalah Islam akhirnya terhenti seketika, beliau dan teman-teman yang lain ditahan di bawah ISA. Kem Kamunting menjadi saksi bisu akan kezaliman akta draconian ini. Beliau mendekam lebih daripada lima tahun, menjeruk kerinduan kepada keluarga tercinta, teman-teman yang setia, dunia penulisan (telah menghasilkan lebih 13 buah buku pelbagai tajuk) dan perjuangan Islam yang beliau sertai semenjak zaman belia. Saya teringat pula saat ‘banduan politik KMM’ ini diserap di Kamunting, pelbagai usaha pula dibuat di luar kem tahanan untuk membebaskan mereka. Saya dan teman-teman turut bergabung dalam Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) melakukan pelbagai kempen utnuk membebaskan tahanan tanpa bicara ini. Syed Ibrahim (Pengerusi GMI), Pak Abu, Kak Nuri, Kak Nashita, Kak Liza, Dr. Badrul Amin,Ustaz Azli@ Toliban dan ratusan aktivitis lain berkeliling negara mengadakan kempen memansuhkan ISA, mengedarkan risalah, poskad, mengutip tandatangan, menerbitkan buku, menerbitkan VCD khas kezaliman ISA, solat hajat, perarakan aman, teater, demonstrasi adalah sebahagian acara berkempen.
Menziarahi dan menyantuni keluarga mangsa-mangsa ISA adalah saat-saat memilukan, sebahagian besar keluarga mangsa ISA (KMM) ini hidup dalam keadaan susah. Menyorot bening mata anak-anak mangsa ini akan menyerlahkan kepada kita kezaliman yang ditimpakan kepada mereka.
Kesan daripada kempen anti ISA yang gencar ini, maka pemerintah telah melepaskan tahanan ISA (KMM) ini, cikgu Non telah dibebaskan tetapi dengan pelbagai syarat.
Beliau kehilangan masa menulis semasa dalam tahanan, kerana menulis adalah dilarang. Kesan tidak “mengetuk” keyboard computer dalam tempoh yang lama ini turut melunturkan bakat cikgu Non apatah lagi dengan kesihatan mula diranggus oleh penyakit sejajar dengan umur yang makin menjelang senja. Cikgu Non selama ini memang dikenali dengan keprihatinan yang mendalam terhadap kebajikan balu-balu dan anak-anak syuhada Memali (1985). Beliau berkongsi keuntungan berniaga dengan menyantuni mangsa-mangsa tragedi Memali yang dilupakan oleh rakyat negara ini. Semoga Cikgu Non dikurniakan dengan kelapangan dan kesihatan yang baik untuk terus memberi sumbangan kepada Islam.

Riduan Mohd Nor
Padang Balang

No comments:

KENANGAN ANDA