25 tahun memali

25 tahun memali

Friday, April 24, 2009

AL FATIHAH-Balu Mangsa Memali Meninggal Dunia



Memali, Baling
Jumaat ,24 April 2009,

Seorang balu kepada bekas tahanan Memali, Chah binti Jusoh, berumur hampir 100 tahun, telah meninggal dunia di rumah anaknya di Kg. Memali, Baling lepas maghrib tadi kerana sakit tua. Beliau meninggalkan 4 orang anak perempuan dan 50 orang cucu dan 60 orang cicit. Jenazah beliau akan dikebumikan tanah perkuburan Kg. Memali jam 11.00 pagi esok.

Thursday, April 23, 2009

Tragedi Berdarah Memali


( 19 Nov 1985 – 19 Nov 2008 )

Tanggal 19 Nov 1985, Kg. Memali, Mukim Siong, Baling, Negeri Kedah Darul Aman di bumi Malaysia menjadi saksi satu tragedi yang sangat dahsyat dalam sejarah tanah air. Lebih 3000 anggota keselamatan dihantar oleh pihak pemerintah daripada regim Barisan Nasional untuk melakukan aksi penangkapan ke atas seorang tokoh ulama’ yang bersama di dalam Gerakan Islam di Malaysia iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Beliau yang mesra dengan panggilan Ust. Ibrahim Libya atau nama sebenarnya Ibrahim bin Mahmud merupakan pendakwah tanah air yang sebelumnya pernah berkhidmat bersama Pusat Islam Malaysia. Beliau yang telah sekian lama bersama PAS akhirnya mengambil keputusan meninggalkan Pusat Islam bagi meluaskan lagi ruangnya memberikan perkhidmatan kepada Parti Islam walaupun khidmatnya sangat diperlukan oleh Pusat Islam sehingga beliau pernah dii’tiraf sebagai pendakwah terbaik.

Dengan suaranya yang lantang dan tegas menghadapi kezaliman-kezaliman pihak pemerintah ketika itu yang diketuai oleh Perdana Menteri Tun.Dr Mahathir bin Mohamad, setiap majlis-majlis pidatonya pasti dihadiri oleh ribuan pendengar dikalangan penyokong dan pendokong gerakan Islam. Internal Security Act (ISA) yang dikuatkuasakan oleh pemerintah adalah merupakan diantara perkara yang sangat kuat ditentang oleh beliau selain dari sikap pemerintah yang dilihat tidak memandang Islam sebagai ‘Aqidah Negara serta jalan penyelesaian masalah ummah. Ditambah lagi dengan peribadi pemerintah yang dicemari amalan korupsi dan sebagainya membuatkan Ust Ibrahim begitu bersungguh dalam memberi semangat kepada ahli PAS agar berazam untuk membuat perubahan dalam kepimpinan Negara.

Sokongan dan dokongan kuat dari ribuan umat Islam di Malaysia yang mencintai perjuangan Islam menjadi ‘mimpi ngeri’ kepada pihak pemerintah. Ianya begitu menakutkan mereka yang mengimpikan kekuasaan dapat dipegang selama-lamanya. Akhirnya, pelbagai tuduhan, fitnah dan label-label jahat dilemparkan kepada PAS khasnya Ust. Ibrahim Libya. Alasan-alasan dicipta bagi membolehkan pihak pemerintah dengan mudah menangkap Ust. Ibrahim. Kerjasama antara pemerintah dengan pihak keselamatan mula dilakukan dengan hebat.

Menjelang operasi penangkapan, Kg.Memali dipantau dan dikepung hampir seminggu lamanya. Pertambahan bilangan anggota keselamatan dari sehari ke sehari persis ingin menghadapi satu bala tentera musuh yang besar atau pengganas yang sangat merbahaya yang diperlukan segera. Cerita-cerita karut yang direka mengenai kegiatan Ust. Ibrahim dan pengikutnya di Kg. Memali disiarkan di dada akhbar bagi mengelabui mata orang awam. Ust. Ibrahim yang istiqamah mengajar anak-anak muridnya dikalangan orang tua dan anak muda di Madrasah yang dibinanya dimaklumkan mengajar fahaman salah dan sesat. Semuanya berlaku dalam tempoh menjelang operasi.

Sangat dahsyat. Tanggal 18 Nov 1985, hampir segenap penjuru kampung telah terkepung, dibimbangi ada sasaran yang terlepas keluar. Penduduk Kg. Memali yang begitu setia bersama guru mereka terus bermunajat kepada Allah memohon keselamatan dan bantuan. Persiapan persenjataan ala kadar dengan senjata ‘orang kampung’ disediakan kerana bagi mereka mempertahankan diri dan nyawa yang diancam adalah satu kewajipan yang sangat besar. Namun apalah sangat dengan senjata ‘orang kampung’ berbanding pihak pemerintah yang mengahantar bala tentera dengan kelengkapan seolah-olah menghadapi peperangan yang besar. Berpuluh-puluh kereta perisai disediakan, lori water canon, gas pemedih mata, senjata, pelbagai jenis polis disediakan termasuk Pasukan Polis Hutan dan segala macam kelengkapan lain.

Anggota polis berpecah kepada dua kumpulan akibat berlainan maklumat yang diterima mengenai siapa sasaran dalam operasi ini. Ada yang mendapat maklumat, mereka akan menggempur perkampungan saki baki Komunis dan ada yang mendapat maklumat mereka akan menghadapi kumpulan pemberontak kerajaan. Namun, atas arahan dari pemimpin tertinggi pasukan polis yang mesti ditaati, mereka akur juga walaupun ada yang mengetahui bahawa dihadapan mereka bukanlah Komunis. Selepas kejadian, maklumat diterima bahawa pada malam serangan ingin dilakukan iaitu malam 18 Nov tersebut, sebahagian anggota polis bersuka ria dan berpesta besar di sebuah balai polis di Negeri Kedah. Antara anggota polis yang terlibat didalam operasi ini termasuklah dikalangan mereka yang bukan beragama Islam.

Antara watak utama dibelakang operasi yang disebut ‘Ops Komunis’ ini, Musa Hitam (Tim.PM), Dato’ Yahya Yeop (pemimpin tertinggi Polis Negeri Kedah) dan Dr.Mahathir sendiri . Mereka inilah yang memainkan peranan utama bagi memastikan tertangkapnya Ust Ibrahim Libya pada tarikh tersebut.

Keesokannya harinya, tanggal 19 Nov 1985, selesai Solat Subuh, Ust Ibrahim terus memberikan taujihat penuh bermakna kepada para pendokong perjuangan yang terdiri dikalangan anak-anak muridnya yang setia dengan majlis-majlis ilmu beliau. Antara lain, beliau mengingatkan kepada ahli jama’ah supaya jangan ada yang lari dari perjuangan yang sedang dihadapi ini serta menyebut mengenai kelebihan mati syahid. Seluruh ahli jama’ah semakin kuat azam dan tekad untuk tidak menyerahkan Ust Ibrahim kepada pihak pemerintah. Mereka rela mati demi mempertahankan As-Syahid.

Antara mereka yang rapat dengan Ust Ibrahim ialah Sdr. Yusuf Husein dan Pak Teh Mat Piah (sudah meninggal). Mereka inilah antara yang kerap melakukan rundingan dengan pihak keselamatan pada hari tersebut agar mengelakkan berlakunya pertumahan darah khasnya orng ramai. Namun, Ust Ibrahim tegas dengan pendiriannya untuk tidak menyerahkan dirinya kepada kerajaan yang zalim kerana baginya, beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan atau jenayah. Tugasnya hanya memberi nasihat kepada pemerintah yang begitu kuat menganut fahaman Nasionalisme dan Sekularisme yang bertentangan dengan Islam.

Berita kehadiran anggota polis untuk menangkap Ust Ibrahim akhirnya berjaya dihidu oleh pasukan tentera Malaysia yang berada di Negeri Kedah. Bahkan dikalangan mereka juga terdapat anggota-anggota yang sering mengikuti pengajian-pengajian agama daripada Ust Ibrahim. Beberapa orang dikalangan mereka akhirnya bergegas ke Kg. Memali dan memberikan peringatan kepada pasukan polis agar mengelakkan serangan. Dengan bilangan mereka hanya beberapa orang membuatkan pihak polis tidak mempedulikan. Dikalangan anggota tentera ini ada yang menyebut, “ingat ! hari ini hari kamu. Boleh jadi satu masa nanti kita akan bertempur”. Lalu mereka meninggalkan tempat tersebut.

Setelah dilihat Ust Ibrahim enggan lagi bertemu mereka, akhirnya orang kampung diberi arahan agar berundur ke belakang. Serangan akan dilancarkan. Namun, untuk menerima arahan tersebut tidak semudah itu. Penduduk kampung yang terdiri dikalangan orang tua, kaum ibu, pemuda, wanita dan anak kecil dengan penuh keberanian melaungkan kalimah ‘Allahu Akbar’ berkali-kali bagi menggerunkan pihak musuh. Parang panjang yang sering digunakan dikebun untuk tugasan harian, digenggam erat bagi menghadapi kemungkinan-kemungkinan. Ibu-ibu dengan parang dan buluh-buluh panjang menghalau pasukan polis. Anak-anak kecil yang masih tidak mengerti apa itu perjuangan menghadapi pasukan polis bersenjatakan parang dan pisau.

Pihak keselamatan yang panik akhirnya melepaskan gas pemedih mata dan water canon ke arah orang kampung yang kukuh berdiri tidak mahu berganjak. Seorang kanak-kanak terkena serangan tersebut lalu pengsan dengan mulutnya yang berbuih. Melihat anak kecil tersebut menjadi mangsa, lantas seorang penduduk yang dikenali dengan panggilan Cikgu Shafi’e nekad untuk melakukan serangan balas. Parang ditangan digenggam dan terus berlari ke arah anggota polis. Subhanallah. Belum sempat parangnya singgah ke tubuh anggota polis tersebut, sebutir peluru terus menembusi dadanya. Cikgu Syafi’e menjadi korban pertama tragedi tersebut.

Jerit pekik penduduk semakin kuat apabila serangan bertalu-talu dari kereta perisai polis dilakukan. Seorang demi seorang tumbang menerima hadiah peluru dari Kerajaan Barisan Nasional. Rumah Ust. Ibrahim dirempuh kasar. Akhirnya peluru menghinggapi juga tubuh ulama’, pendakwah dan pemimpin gerakan Islam ini. Diatas ribaan isterinya, beliau menghembuskan nafas. Beliau sempat bertanya, “abang kena apa?”. Si isteri menjawab, “abang ditembak”.

Menjelang waktu Zohor, hujan renyai-renyai turun membasahi Kg. Memali. Hujan rahmat yang turun sebagai saksi kezaliman pemerintah yang rakus mengahdapi rakyat yang serba kekurangan. Operasi pembersihan dilakukan segera agar bau bangkai jenayah mereka dapat ditutup dari pengetahuan rakyat Malaysia. Mangsa yang terkorban diangkut ke dalam trak-trak polis. Didalamnya turut dimuatkan beberapa ekor anjing buat menemani para syuhada’. Ada penduduk kampung yang tercedera disepak terajang. Mereka menyebut, “ ada lagi yang belum mati”. Semua penduduk kampung disumbat ke dalam trak polis untuk dibawa ke balai. Yang cedera dibawa ke hospital. Maklumat dijaga agar tidak sampai kepada media atau orang ramai. Tahanan diugut agar merahsiakan kejadian.

Gambar As-Syahid Ust Ibrahim Libya (kiri bawah sekali)

Beberapa hari kemudian barulah mereka dibebaskan. Jenazah dipulangkan semula dengan bilangan korban seramai 14 orang semuanya. Maka bermulalah perbalahan diantara pihak berkuasa agama (Majlis Fatwa Kebangsaan) dengan penduduk. Mereka mendakwa Ust Ibrahim Libya dan 13 yang lain mati sebagai Syuhada’ dan perlu diuruskan sebagai orang mati syahid. Pandangan ini diambil dari tuan-tuan guru di pondok-pondok Negeri Kedah yang melihat bahawa mereka ini mati kerana mempertahankan agama dan nyawa mereka. Bagi pihak berkuasa agama dibawah pemerintah, mereka terus ditekan untuk mendakwa Ust Ibrahim dan lain-lain mati sebagai Bughah (penderhaka kerajaan Islam) dan wajib diurus sebagai orang mati biasa. Penduduk tetap dengan keyakinan mereka. Akhirnya para korban diurus sebagai syuhada’ dengan tidak dimandikan beserta pakaian mereka yang masih basah dengan darah yang terus mengalir walaupun telah beberapa hari ditembak.

Wajah mereka yang tenang menghadap Allah ditambah pula dengan bau wangi yang dapat dihidu oleh orang-orang yang menguruskan jenazah mereka. Esoknya, media yang dikawal pemerintah pun menyiarkan berita operasi ini dengan versi pemerintah. Ust Ibrahim dan rakan-rakan dicap sebagai Bughah (penderhaka kerajaan Islam). Bagi PAS yang mempunyai lidah rasminya sendiri iaitu akhbar Harakah memperbetulkan pula berita tersebut. Selepas itu, ribuan umat Islam dari seluruh pelusuk Malaysia bergegas ke Kg. Memali menyaksikan sisa-sisa dosa pemerintah ke atas pejuang Islam.

Sehingga hari ini, kes ini yang telah beberapa kali dibawa ke mahkamah sunyi sepi tidak berbunyi lagi. Kes yang masih berada di dalam fail mahkamah ini tidak dipedulikan oleh Menteri Penerangan Malaysia (sebelum ini) iaitu Dato’ Zainudin Maidin. Beliau memperalatkan beberapa klip video tragedi Memali ini untuk menyerang PAS sebagai gerakan ekstremis, radikal, militan dan sebagainya selepas pasca 11 Sept 2001 dengan menggambarkan orang PAS menyerang anggota keselamatan. Hari ini, genap 23 tahun tragedi Memali yang meragut nyawa mereka yang tidak bersalah dan mencederakan beberapa anggota polis yang memang mereka ini tidak tahu pun tujuan sebenar dihantar ke sana pada tarikh tersebut. Mereka tidak bersalah. Bahkan seorang demi seorang orang kampong yang sepatutnya menjadi saksi dimahkamah untuk memfailkan saman kepada kerajaan Barisan Nasional kini telah menghadap Allah s.w.t.

Selepas kejadian tersebut, setiap tahun PAS mengadakan sambutan memperingati Tragedi Memali. Saban tahun juga ada sahaja anggota polis yang secara diam-diam menyalurkan sumbangan kepada PAS, kepada balu-balu syuhada’ dan memohon kemaafan atas kesilapan mereka. Melihat kepada situasi anggota polis yang sangat sedih dan terkilan dengan kejadian ini yang bukan dengan kerelaan mereka dan sangat terharu dengan sambutan memperingati syuhada’ ini , akhirnya atas nasihat dari pimpinan, sambutan yang berjalan beberapa tahun tersebut dihentikan. Wallahua’lam.

Al-Fatihah Untuk Para Syuhada’ Memali


Peristiwa Memali (19 November 1985 - 19 November 2008)
(http://tukulbesi.blogspot.com/2008/11/memali-dalam-kenangan.html)

19 November mengingatkan saya peristiwa hitam yang berlaku 23 tahun dulu di negara kita yang hampir dilupakan oleh umat Islam. Ketika itu saya baru selesai mengambil peperiksaan SRP di SMK Jengka Pusat tahun 1985.

Lepas solat Maghrib di Masjid Jengka 16,beberapa orang jemaah yang baru hadir untuk solat Isya mengkhabarkan berita panas dari utara tanahair.Ceritanya ,beberapa orang yang dikatakan pengganas dan terlibat dengan ajaran sesat terkorban dalam pertempuran dengan polis di Baling Kedah.

Bapa saya ketika itu masih ahli Umno, tumpang sekali dalam perbincangan tak rasmi di masjid sementara menunggu solat Isya'."Kumpulan selendang merah ke",celah beliau.Ketua kumpulan tersebut katanya bernamanya Man Libya.

"Kalau tak silap aku,Man Libya ni penceramah kat kawasan Baling tu",kata Pak Long Zaini yang berasal dari Kulim Kedah.

Esoknya terpampang didalam akhbar,14 orang pengganas,dan 4 anggota polis terkorban dalam pertempuran di Memali,Mukim Siong,Baling,Kedah.Ketua pengganas itu ialah Ibrahim Libya @Man Libya turut terkorban.Ibrahim Libya telahpun mengumpulkan penjenayah penjenayah yang dikehendaki polis di rumahnya yang dijadikan markaz kumpulan itu.

Sehari selepas itu keluar pula berita di akhbar,Haji Abdul Hadi Awang Naib Yang Dipertua PAS Pusat berkata,"Sekiranya Ibrahim Libya yang dimaksudkan itu ialah Ibrahim Libya yang saya kenali,maka dia bukanlah pengganas tetapi dia ialah seorang pejuang Islam".

Tanda tanya yang bermain di kepala rakyat mulai terungkai.Akhirnya isu Memali menjadi isu yang panas.Tuan Guru Haji Abdul Hadi pemidato terkenal ketika itu dalam ceramahnya mengenai kejadian Memali di Kg Sentosa Maran menyelar kekerasan polis ke atas penduduk kampung yang dhaif sehingga sanggup membunuh mereka.

Lebih kurang tiga bulan berlalu,isu itu terus panas.Berbagai berita dari Memali sampai ke Jengka membangkitkan semangat ahli ahli PAS untuk menziarahi tempat bersejarah itu.Bapa saya yang belum menjadi ahli PAS terpanggil untuk melihat dari dekat cerita yang sampai ke Jengka itu.

Bersama dengan beberapa orang jiran dan ahli ahli PAS yang baik hubungannya dengan bapa saya,mereka berangkat ke Kedah menziarahi Kampung Memali,kubur syuhada di Parit Panjang dan bertemu mangsa mangsa Memali yang baru dibebaskan dari tahanan polis.

Kubur syuhada ternyata masih berbau wangi walaupun Umno tak pernah percaya dengan kelebihan orang mati syahid sama seperti orang hari ini yang tidak percayakan syahidnya Imam Samudera,Amrozi dan Mukhlas.Semuanya dianggap bohong,mereka pengganas,mana mungkin dapat pangkat syuhada.Tetapi tanda tanda yang dikurniakan Allah kepada mereka menambahkan keyakinan hati akan kesyahidan mereka.

(Beberapa tahun lalu ketika Zainudin Maidin memainkan fitnah terhadap mangsa kejadian Memali,berlaku satu kejadian tanda kebesaran Allah.seorang penduduk Memali yang terlibat dalam kejadian tersebut telah menghidu bau wangi yang luar biasa dari bawah rumahnya.Apabila dicari,bau wangi itu rupanya datang dari kain yang sudah lusuh yang terselit di bawah rumahnya.Lalu dia teringatlah, kain itu terdapatnya kesan darah syuhada Memali hampir 20 tahun lalu yang disimpan di rasuk rumahnya.Begitulah tanda kemulian syuhada Memali)

Pulang dari Memali,bapa terus menyertai PAS bersama dangan beberapa orang rakannya dari Umno.Apa yang saya ingat bapa saya pernah menjadi Setiausaha Umno Cawangan Jengka 16.Saya sendiri pernah membantunya menyiapkan surat jemputan untuk mesyuarat Agung Umno Cawangan ketika itu.

Alhamdulillah kerana Peristiwa Memali ,bapa dan kami sekeluarga beserta jiran jiran telah bersama dengan perjuangan Islam sehinggalah ke hari ini.

Perjuangan membela mangsa Memali melalui tempoh yang cukup panjang.Setelah berpuluh orang mangsa kezaliman Memali selaku saksi saksi utama kembali ke rahmatullah,akhirnya selepas dua puluh tahun,Mahkamah Tinggi Alos star memutuskan tindakan polis membunuh orang Memali adalah tindakan yang salah.Kerajaan telah diarahkan membayar sejumlah ganti rugi kepada mangsa terlibat.

Dalam tempoh berlakunya kezaliman ke atas umat Islam di Memali,Umno tidak diizinkan Allah untuk mendapat apa -apa laba dari kezaliman mereka.walaupun dalam pilihanraya tahun 1986,PAS hanya dapat satu kerusi Parlimen melalui Almarhum Pak Nik Lah di Pengkalan Chepa,tetapi selepas itu Umno berpecah dua pada 1987 dengan lahirnya team A dan Team B yang kemudiannya saling tuduh menuduh tentang siapakah yang merancang kejadian Memali.

Mahathir menyalahkan Musa Hitam,Musa menuding kepada Mahathir.Tidak pula ketika itu mereka menyalahkan pembangkang.Apa yang nyata Peristiwa Memali adalah angkara kezaliman Umno.Umno akhirnya diharamkan .Kemudiannya muncul pula Semangat 46 dan Umno Baru.

Natijah dari kezalliman mereka tahun 1990,Kelantan jatuh ke tangan PAS sehinggalah hari ini.Selepas lebih 22 tahun,Kedah pula jatuh ke tangan PAS bersama Pakatan Rakyat.Kita menikmati kemenagan pada hari ini hasil pengorbanan orang terdahulu yang tidak sempat untuk melihat hasil perjuangan mereka.

Ustaz Ibrahim Libya,Pak Ya Junid,Ustaz Azahari,Cikgu Mustafa Long,Ustaz Suhaimi dan Dato Hj Fadzil Mohd Nor,mereka semua tidak sempat untuk melihat Kedah ditadbir Parti Islam.Itulah perjuangan dan pengorbanan.

Sorotan Memoir Jihad Anak Melayu di Afghanistan

memoir-jihad2



Sesungguhnya segala puji dan puja milik Allah SWT , Tuhan yang mengurniakan kita dengan nikmat yang paling tuntas, kita memohon kepadaNya daripada rasa kebergantungan kepada thaghut dan bermanis muka dengan jahiliah moden. Selawat dan Salam buat Rasul junjungan yang telah menunjukkan kepada kita jalan jihad yang panjang ini, yang telah bermandi darah dan berkubang jerih keringat memacu perjuangan sehingga Islam bergema di seluruh belahan dunia ini.

Islam yang kita cintai ini tidak pernah dibiarkan diterjah oleh musuh tanpa pembelaan daripada pencintanya di sepanjang zaman. Semakin kuat Islam dihimpit semakin ramai pejuang yang tampil membela walaupun terpaksa dibayar dengan harga yang mahal seperti pembantaian, pemenjaraan, pembunuhan serta diusir dari tanah leluhur. Allah SWT tidak membiarkan Islam tanpa para pembela di mana tentera Allah ini akan muncul pada saat Ummah merintih dan ketika golongan mustadh’afin bersimpuh memohon pertolongan langit.

Secara geografinya negara Afghanistan terletak di selatan benua Asia dan sangat strategik kerana menjadi penghubung antara benua melalui jalan daratnya. Bumi Afghanistan merupakan bumi umat Islam yang menjadi sebutan dalam beberapa dekad ini. Bumi yang terpuruk daripada kemudahan moden dengan dilatari bukit-bukit kontang, dihuni manusia yang lasak dengan pelbagai etnik yang kuat berpegang kepada agama dan budaya mereka .
Wilayah tandus kontang ini meletakkan namanya diingati oleh dunia kerana kekentalan semangat juang anak peribuminya menentang penjajah British sehingga tentera British akur dengan kekalahan. Satu tamparan maha hebat kepada pemilik ‘pax-Britanica’, tersemban di kaki para mujahidin. Pada tahun 1979 atau secara tepatnya pada 31 Disember 1978 pula Afghanistan telah diterjah oleh kuasa Russia (yang menjadi saingan kepada Amerika). Penaklukan ini telah menyebabkan berbondong-bondong pemuda Islam dari seluruh belahan dunia datang untuk memangku senjata, berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir. Serangan Russia ini merupakan kali keempat negara komunis itu menyerang negara luar selepas Revolusi Bolshevik. Kali pertamanya ialah negara Jerman Timur pada tahun 1953, kemudiannya Hungary pada tahun 1956 dan selanjutnya Czechoslovakia pada tahun 1968.
Terdapat beberapa faktor serangan ini dilakukan terhadap Afghanistan seperti untuk memintas kebangkitan Islam yang berlaku. Afghanistan terkenal kerana rakyatnya yang beragama dan ini akan mempengaruhi 50 juta rakyat Russia di wilayah Asia Tengah yang beragama Islam (Azerbaijan, Kazakhtan dan Turkmenia). Sebelum Afghanistan diserang, perang pemikiran telah dilakukan oleh Russia di Afghanistan seperti membina kolej-kolej dan sekolah-sekolah. Melalui elemen pendididkanlah fahaman komunis telah ditebarkan. Soviet Gerakan sulit komunis telah ditubuhkan dan mula melakukan pengkhianatan serta konspirasi yang sistematik. Antaranya agen sulit Russia telah membunuh raja Afghanistan iaitu Daud Shah. Kemudiannya Nur Muhd Taraki telah dilantik sebagai raja yang baru dan beliau juga dibunuh. Selepas itu, Babrak Kamal telah dilantik sebagai raja (boneka). Pemerintahannya telah menyerap fahanaman komunis dan menjemput penaklukan Soviet.

Bermula saat-saat yang mengerikan kepada umat Islam Afghanistan, langitnya mula bertukar merah saga, deru anginnya ialah suara kesakitan dan kejerihan umat Islam , hujannya ialah airmata duka kanak-kanak yang kehilangan bapa dan tangis rawan wanita –wanita yang kehilangan suami. Rumah-rumah Allah tempat berkumandang Al-Quran dan zikir mula diceroboh dengan biadap malah diratakan dengan bulldozer, pembunuhan beramai-ramai telah dilakukan seperti dikambus hidup-hidup. Golongan agama seperti alim ulama dan intelektual Islam diintai oleh sang algojo samada daripada kalangan Russia atau puak munafik Afghanistan sendiri. Desa-desa dibakar dengan rakus bahkan digunakan gas-gas beracun untuk meratah nyawa umat Islam yang tidak bersenjata. Jet-jet canggih Russia telah memuntahkan pelurunya tanpa sekelumit belas kasihan terhadap orang awam , pembantaian ini sangat meruntun perasaan , tiada bahasa yang dapat diluahkan untuk mengambarkan kesakitan dan kepedihan yang mendalam ini.
Rakyat Afghanistan mula bergerak meninggalkan kampung halaman untuk mencari perlindungan diri di sempadan Pakistan dan Iran. Jutaan pelarian ini telah mengungsi negara Pakistan dan menjadikan jumlah pelarian perang paling ramai dalam dunia sehingga menimbulkan masalah baru kepada Pakistan untuk “menyuap” pelarian ini serta masalah sosial yang lain yang muncul terutama di wilayah sempadan. Namun, General Zia Ul Haq memberikan perhatian dan kasih sayang terhadap umat Islam Afghanistan ini.
Dalam mengisi penghijrahan mereka ke atas Afghanistan, Russia telah memperalatkan pemimpin tempatan seperti Hafizullah Amin dan Babrak Kamal. Umat Islam telah diindoktrinkan dengan fahaman komunis secara besar-besaran melalui sistem pendidikan yang diceduk dari Russia, mimbar-mimbar masjid telah dijadikan alat menuangkan propaganda kepada rakyat, pergaulan bebas , muzik dan arak dibudayakan kepada rakyat tempatan. Kebudayaan kafir yang lucah dan murahan dipaksa terhadap rakyat malah 20,000 biasiswa telah diberikan kepada belia dan para pemuda tempatan untuk menyambung pelajaran ke Russia dan negara-negara komunis yang lain. Pelajar ini diharapkan akan menjadi agen penebar ‘kesesatan marxisme’ apabila pulang ke tanahair serta menjadi alat politik mereka untuk terus menguasai Afghanistan.
Tidak cukup dengan darah dan besi, Russia dan munafikin tempatan ini cuba pula untuk meracuni rakyat dengan slogan dan warna Islami seperti mengubah warna latar bendera Afghanistan daripada bewarna merah kepada warna hijau (1980), usaha ini untuk menarik kembali sokongan rakyat dan mengambus kejahatan mereka dalam tahun pertama penjajahan. Dalam masa yang sama , tokoh-tokoh ulama dan aktivis Islam telah digiring ke penjara dan mengalami penyiksaan , dirogol oleh tentera Soviet. Russia daripada semasa ke semasa terus menambahkan jumlah kekuatan anggota tenteranya. Pada tahun 1981 sahaja seramai 95,000 orang tentera Russia telah berada di Afghanistan. Kanak-kanak dan wanita tidak terkecuali daripada menjadi mangsa pembantaian yang tragis ini , bukit bukau serta gunung ganang yang kontang telah menjadi saksi bisu akan kekejaman ‘Beruang merah Russia’ dalam abad 20 ini yang akhirnya telah menjadi barometer kepada kebangkitan Islam sejagat.
Kesan daripada kezaliman inilah maka seruan jihad telah dilancarkan oleh para alim Ulama , genderang perang mula ditabuh sahut menyahut di seluruh belahan bumi. Maka, berpusu-pusu insan beriman menyahut panggilan jihad ini. Menurut Fadhal Mohammad (2001), fatwa jihad di Afghanistan ini julung kalinya telah dikeluarkan oleh Sheikhul Hadith Pakistan iaitu Maulana Abdul Haq dan Hadrat Mufti Mahmud. Kesannya ialah Ulama dan pelajar-pelajar madrasah ialah kelompok terawal yang bangun menentang soviet walaupun bermula dengan senjata yang ala kadar.
Ulama-ulama yang soleh yang cintakan kepada kemuliaan Islam telah berani bersuara, membacakan firman-firman Allah tentang jihad dan kelebihannya serta menghuraikan hadith-hadith Nabi SAW yang yang akhirnya telah merangsang semangat jihad pemuda Islam.
Antaranya firman Allah:
Kamu Diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara Yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
(Surah Al-Baqarah: 216)
Oleh itu, orang-orang (yang beriman) Yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam). dan sesiapa Yang berperang pada jalan Allah lalu ia mati (gugur Syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala Yang besar.
( Surah An-Nisa’ : 74 )

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela ugamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh.
( Surah As-Saf : 4 )

Dan jangan sekali-kali Engkau menyangka orang-orang Yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (Mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka Dengan mendapat rezeki; (Dan juga) mereka bersukacita Dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) Yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira Dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam Yang sedang berjuang), Yang masih tinggal di belakang, Yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (Iaitu) Bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Mereka bergembira Dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), Bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang Yang beriman.
( Surah Ali-Imran : 169-171)

Hadis-hadis
Dari Abu Hurairah Radiallahu anhu, orang mengatakan; Wahai Rasulullah! Apakah dia yang sama dengan jihad fi Sabilillah? Sabda Baginda: Kamu tidak akan mampu melakukannya. Mereka pun mengulangnya pada Baginda dua atau tiga kali. Setiap kali baginda mengatakan kamu tidak akan mampu melakukannya. Kemudian baginds bersandfa : “Bandingan seorang Mujahid fi Sabilillah ialah seperti seorang yang berpuasa, bersembahyang dan membaca al-Quran, di mana ia tidak memutuskan puasanya dan sembahyangnya sampailah seorang Mujahid itu balik.”
( Riwayat yang Enam kecuali Abu Daud )

Dari Sahl bin Hunaif Radiallahu anhu katanya: Rasulullah SAW bersabda: “ Sesiapa yang memohon kepada Allah Taala dengan sebenarnya untuk mati syahid, Allah pasti menyampaikannya ke darjat para syuhadak, meskipun ia mati di tempat tidurnya.”
( Riwayat yang Lima kecuali Bukhari )
Daripada Miqdam bin Ma’di Karib katanya: Rasulullah SAW telah bersabda : “ Bagi orang yang syahid itu di sisi Tuhannya ada enam keistimewaan: allah mengampunkannya di awal (darahnya mengalir); diperlihatkan tempatnya di syurga; dilindungi dirinya daripada azab kubur; diamankan daripada kejutan besar kiamat; diletakkan di atas kepalanya makhota kesatria, sebuitir batu yakut dari makhota itu sahajapun sudah lebih baik daripada dunia dan seisinya; dikahwinkan dengan tujuh puluh dua orang isteri dari bidadari; dan diberikan syafaat kepada tujuh puluh orang kerabatnya.
( Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah )
Ayat-ayat Allah dan huraian hadith Nabi SAW telah memacu semangat juang para mujahidin ini dan akhirnya sedikit demi sedikit Russia mula terpanggang dengan kesombongan mereka sendiri, tentera Russia yang cinta kepada kehidupan yang terpaksa berdepan dengan para mujahidin yang cinta kepada kematian dengan cara yang paling seni. Kesyahidan mula menjadi mimpi indah kepada pemuda-pemuda Islam manakala seruan jihad seolah-olah lambaian para bidadari syurga yang indah nian, sedang menanti di atas dipan emas.
Perjuangan mujahidin telah menjadi fokus lensa kamera, media yang dikuasai oleh Amerika memperbesarkan skop berita mujahidin dengan tujuan untuk memperlekehkan kekuatan musuh mereka, Russia, malah dengan dongengan bahawa CIA menaja gerakan-gerakan mujahidin. Mitos dan khayalan dibentuk melalui filem ‘Rambo” bagaimana kelicikan dan kehebatan tentera Amerika membantu mujahidin Afghanistan. Perjuangan mujahidin ini mempunyai ikon mereka yang tersendiri seperti Dr Abdullah Azam, Usamah Bin Laden bahkan dasar luar Jeneral Zia Ul Haq banyak membantu para pejuang Islam di Afghanistan.
Usamah Bin Laden sebagai contoh merupakan seorang hartawan yang terlibat secara langsung dengan jihad di Afghanistan. Jutawan kelahiran Saudi ini dalam satu masa telah menginfakkan sebanyak 30 juta riyal kepada gerakan-gerakan mujahidin yang dipimpin oleh Hekmatyar, Rabbani, Sayyaf dan Ahmad Shah Masoud. Mujahidin juga akhirnya mula dilengkapi dengan senjata –senjata moden manakala Dr. Abdullah Azam telah menginspirasi ramai pemuda Islam untuk memikul senjata di bumi jihad ini dengan syarahan dan juga tulisan-tulisan beliau yang berani tentang jihad. Dr Abdullah akhirnya telah dibunuh syahid dalam peristiwa pengeboman keretanya yang dirancang oleh musuh Islam.
ii)
As-Syahid Fauzi Ismail merupakan anak muda Melayu yang telah monoreh sejarahnya yang tersendiri walaupun dilahirkan di negara yang sarat dengan pesta hiburan dan kebejatan akhlak anak-anak muda. Menelusuri kisah perjalanan beliau memburu keredhaan Allah dan kesyahidan menyebabkan palong hati kita bergetar kesyahduan seterusnya tanpa sedar mengundang titik jernih mengalir di kedua-dua belahan mata kita.
Beliau mendapat didikan asas secara formal sehingga SPM dan menekuni fikrah perjuangan Islam daripada halaqah-halaqah ilmu secara tidak formal sehingga beliau merasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk mewakafkan diri beliau dalam perjuangan Islam sehingga Syahid. Fauzi merasa ditusuk sembilu tajam apabila membaca berita-berita daripada kolum akhbar tentang pembantaian dan pembunuhan umat Islam Afghanistan, semangat beliau juga bergelora dilambung dengan huraian tentang kelebihan jihad oleh para asatizah di jalan dakwah yang beliau sertai di tanahair.
Terlalu istimewa lelaki syurga ini untuk kita menatap sejarah hidup dan perjalannya. Seorang anak muda tipikal yang lahir dalam keluarga yang sederhana, meraih rezeki dengan berniaga secara runcitan di kedai kecilnya, manakala waktu terluang digunakan untuk mendalami ilmu agama dan fikrah harakiah. Keazamannya untuk mencari Redha Allah sangat luar biasa, bermotosikal meredah arus malam setiap malam untuk bertugas mengawal tapak muassasah, berkelana ke Perak untuk mencari biaya ke bumi Jihad, menjual keperluan hidupnya yang menjadi nadi kepada kehidupan beliau selama ini, kedai runcit dan motorsikal semata-mata untuk menampung kos perjalanan ke bumi Jihad.
Fauzi yang digambarkan dalam memoir ini adalah pemuda yang sentiasa ceria menguntum senyuman, boleh “berlebihkurang” dengan teman-teman, tidak mementingkan diri demi melihat perjuangan Islam berjaya. Sebuah potret peribadi yang luhur bagi melengkapkan syarat peribadi sang daie dan pejuang.
Apabila membaca catatan memoir ini, kita akan merasa hanyut dalam gaya penceritaan yang bersahaja, cuma secara peribadi saya merasakan perlu banyak lagi sudut-sudut kehidupan Fauzi perlu disoroti oleh penulis bagi mengukuhkan jalan cerita. Mungkin ada kebimbangan melebarkan jalan cerita memoir ini bermakna membuka ruang para mujahidin dizalimi oleh regim umat Islam dan inilah hambatan terbesar Cikgu Non untuk melengkapkan gambaran penuh memoir ini.
Apapun memoir ini akan mengingatkan kita kepada kekentalan jiwa seorang pemuda Melayu yang sanggup berdada dengan musuh. Secara luarannya tidak ada yang istimewa dengan anak muda ini. Lulusan SPM dari sekolah menengah harian biasa, bekas buruh pembinaan di Singapura, tidak menguasai bahasa Arab, anak kampung yang sederhana, namun beliau telah kembali menghadap Allah SWT dengan seni kematian yang sangat mulia. Fauzi dilahirkan dalam keluarga yang sangat cinta kepada agama, ibu dan bapanya sangat istiqomah dengan amalan wajib disamping amalan-amalan sunat seperti berpuasa sunat dan membaca Al Quran. Dengan latarbelakang keluarga sebeginilah yang telah mencorakkan keperibadian Fauzi.

Menemui Allah dengan kesyahidan adalah cita-cita setiap Muslim dalam rangkuman doa kita setiap kali bersimpuh, menitip doa pada Allah supaya dimatikan sebagai syuhada (berapa ramai pula yang berbohong ketika meluncurkan kalimah doa ini kerana memperjuangkan berhala sekularisme pragmatis dan menentang Syariat Islam).
Anak muda bernama Fauzi Ismail ini sentiasa merasa curiga dengan kemewahan hidup dan kebahagiaan perkahwinan kerana merasa bimbang diri beliau akan gugur dalam perjuangan. Keinginan beliau begitu membuncah untuk melihat kemenangan Islam di tanahair, bumi leluhur yang menyimpan uri-uri beliau, merasa kepedihan dan kesakitan yang mendalam apabila mendengar umat Islam yang disakiti dan dibantai oleh musuh Islam.Beliau merasa bersalah yang amat sangat jika tidak tampil membantu umat Islam yang sedang diterjah oleh kafir di bumi Afghanistan.
Fauzi adalah jelmaan generasi muda para sahabat yang sanggup meninggalkan keseronokan dunia yang menyihir mata hati anak-anak muda. Beliau permata di tengah lumpur hitam arus hedonisme yang dirancang oleh musuh Islam
Beliau muncul pada akhir zaman yang terpisah jauh dengan generasi Al-Quran yang telah melahirkan manusia hebat seperti Mus’ab bin Umair, pembawa panji Islam di medan Uhud yang akhirnya gugur sebagai syuhada’, Abdullah bin Abi Rawahah sang penyair Islam bergelatakan syahid di medan Mut’ah, Jaafar Abi Talib berkelana ke syurga dengan kedua-dua belah tangannya dipotong musuh. Hanzalah bin Abu Amir syahid dengan meninggalkan isteri yang baru disentuhi. Fauzi telah meletakkan namanya dalam senarai panjang syuhada di sepanjang zaman yang tidak akan dimungkiri janji oleh Rabbul Izzati:

Di antara orang-orang Yang beriman itu, ada Yang bersikap benar menunaikan apa Yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada Yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada Yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (Apa Yang mereka janjikan itu) sedikitpun. ( Surah Al-Ahzab : 23 )

Fauzi adalah cerminan kepada potret kehidupan kita hari ini, saat menelusuri sejarah perjuangan hidup kita seolah-olah mengejek diri kita sendiri yang semakin di lambung badai kecintaan kepada kehidupan dunia, kecintaan pada rumah agam, kenderaan yang berprestij, anak pinak semakin membusung dalam palong hati kita. Ukhuwwah Islamiyyah mula menjadi mainan bibir tanpa makna- kosong. Sekosong bekas hati kita yang mula menjauhi jihad. Istilah jihad mula menjadi stigma yang menakutkan malah terasa ia akan memenggal keseronokkan hidup daripada kita. Alangkah kerdilnya jiwa kita saat Ummah memerlukan para daie dan pejuang yang sanggup berselut lumpur di medan masyarakat, membasmi kejahilan dan buta agama .
Kita menari dengan gendang yang dipalu oleh musuh, apabila musuh menyamakan jihad dengan keganasan (terrorisme) maka kita diam termanggu. Terminologi jihad mula diselewengkan dan dikaburkan oleh kuffar dan munafik lantas kita terseret dengan cuba mewajahkan diri kita dengan “kesederhanaan”.
Semangat Fauzi akan terus menyala dalam sanubari kita, memadam api kecintaan pada hidup, mencairkan salju kemalasan berjuang, menyentak seluruh lamunan dan khayalan yang berwarna-warni, menyahalir seluruh toksid kemunafikan dalam aliran darah. Jika ada generalisasi bahawa orang Melayu penakut maka tanggapan mereka silap kerana Fauzi dan teman—temannya sanggup berdada dengan musuh, kuasa besar dunia, ribuan batu jauh dari tanahair. Dia berkelana ke alam abadi dalam burung-burung hijau di taman-taman syurgawi saat ribuan anak-anak muda Melayu yang lain mati bergeletakan di atas aspal basah dalam perlumbaan haram, ribuan yang lain mati dengan darah tersalir dengan virus HIV atau terenjat saraf akibat pengambilan dadah yang berlebihan.
Roh Fauzi sedang menatap wajah dunia Islam yang suram, yang menyaksikan darah merah tumaph dimana-mana; Palestin, Lubnan, Iraq, Kashmir, Selatan Thailand, Mindanao, Ambon dan Kosova.
Wahai orang-orang Yang beriman! mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: “Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah”, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka Dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding Dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak. Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah - membela ugamanya), Allah akan menyeksa kamu Dengan azab seksa Yang tidak terperi sakitnya dan ia akan menggantikan kamu Dengan kaum Yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka Sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, Iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di Dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah Engkau berdukacita, Sesungguhnya Allah bersama kita”. maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya Dengan bantuan tentera (malaikat) Yang kamu tidak melihatnya. dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah Dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) ialah Yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada Dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun Dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah Dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.
( Surah At- Taubah : 38-41)

Rohnya sednag beristirehat di taman-taman syurga dengan jutaan keindahan yang mengasyikkan.
iii) Pasca kemenangan Mujahidin
Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang Dengan disertai oleh ramai orang-orang Yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa Yang telah menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang Yang sabar. Dan tidaklah ada Yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa Dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! ampunkanlah dosa-dosa Kami dan perbuatan Kami Yang melampau Dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian Kami (dalam perjuangan); dan tolonglah Kami mencapai kemenangan terhadap kaum Yang kafir. Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia (Kemenangan dan nama Yang harum), dan pahala akhirat Yang sebaik-baiknya (Nikmat syurga Yang tidak ada bandingannya). dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang Yang berbuat kebaikan.
( Surah Ali-Imran : 146-148)

Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram Dengan bantuan itu. dan (ingatlah bahawa) pertolongan Yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Surah Ali-Imran : 126)
Selepas perang jihad yang berlangsung selama 10 tahun, maka akhirnya Russia telah menyerah kalah, bumi Afghanistan telah menjadi ‘Vietnam’ bagi Russia, ribuan nyawa tenteranya melayang untuk menerima azab Jahannam manakala ribuan syuhada berkelana ke alam abadi dengan disambut hangat para bidadari. Laungan takbir dan tahmid berkumandang di seluruh belahan dunia Islam menyambut kemenangan para mujahidin pada tahun 1989. Namun perlu diingat bahawa musuh Islam sama sekali tidak akan membenarkan tegaknya pemerintahan Islam di atas muka bumi ini. Amerika Syarikat dan Russia dalam bulan Disember 1986 telah mengadakan pertemuan ‘superpower summit’ yang meluluskan usul untuk tidak membenarkan berdiri sebuah pemerintahan Islam di Afghanistan selepas pengunduran Russia.
Kemenangan mujahidin telah menyebabkan beberapa kesan jangka pendek dan jangka panjang seperti kesan teori domino (kejatuhan satu tapak akan menyebabkan kejatuhan tapak-tapak yang lain), pengaruh Islam fundamentalis dengan pantas telah merebak ke Asia Tengah dan ini sangat membimbangkan kuasa –kuasa besar dunia:
“Russian policy in Asia is greatly influenced by fear of Islam and particularly of a general uprising among Russian owns muslim subject in the event of war between Russia and a muslim power (Tahir Amin:1982)
Afghanistan telah mengalami percaturan yang hebat terutama akibat intrig sesama sendiri sehingga melupakan kejerihan perjuangan sebelum daripada itu sehingga memaksa gerakan-gerakan Islam dunia berhimpun di Afghanistan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah negara baru ini. Afghanistan juga menghadapi masalah berpunca daripada anasir-anasir komunis yang masih memegang jawatan –jawatan penting dalam kerajaan, contohnya Jeneral Dustom yang berfahaman komunis telah menguasai Bandar Mazar Syarif dan enam buah negeri lain di utara Afghanistan.
Negara-negara kuffar telah menggunakan PBB untuk menyediakan plan bagi negara yang baru bebas daripada penjajahan Russia ini, Prof. Mujaddidi telah dilantik sebagai Presiden selama dua bulan sebelum diserahkan kepada Prof. Burhanuddin Rabbani untuk tempoh selama enam bulan dan selepas itu pilihanraya akan diadakan. Keadaan di Afghanistan tidak stabil akibat ketidaksepakatan pimpinan yang mula dipecahkan dengan sentimen kepuakan, dalam masa yang sama puak komunis telah mengambil kesempatan untuk memperkukuhkan kuasa mereka.
Jenayah mula meningkat serta keselamatan rakyat mula dijurang dalam apabila berjalan malam sudah tidak selamat di sebahagian tempat di Afghanistan akibat penguasaan kerajaan yang lemah. Afghanistan seolah-olah diperintah oleh sistem ‘warlordism’ dengan setiap buju diperintah dengan aliran siapa yang berkuasa. Kesannya, maka muncullah akhirnya pergerakan Tholiban, yang akhirnya menjadi fenomena dan sebutan ramai pada awal alaf baru.
Pergerakan pelajar agama ini merupakan wadah pelajar-pelajar lepasan madrasah atau digelar deobandis yang kecewa dengan suasana yang berlaku di Afghanistan. Ketua pergerakan ini ialah Mullah Umar Mujahid yang berasal dari Kandahar dan masih muda (33 tahun) ketika mula memimpin pergerakan ini.
Sejarah awal pergerakan ini di Kandahar hanya bermula dengan 15 sehingga 30 orang sahaja pelajar-pelajar agama namun semakin ramai pula menyertai gerakan ini apabila melihat kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh pelajar ini termasuk menghampiri Spain Buldock. Pertempuran yang dimenangi oleh puak ini dengan pantas mencuri perhatian masyarakat dan dengan janji untuk membawa negara Afghanistan kembali mengamalkan Al-Quran dan Hadith .
Tholiban telah melaksanakan beberapa pembaharuan dengan mengisytiharkan Mullah Umar sebagai Amirul Mukminin, menubuhkan Jabatan Amal Makruf Nahi Mungkar, mengharamkan hiburan yang melalaikan, mengharamkan arak, judi serta tempat-tempat maksiat. Pemerintahan Tholiban telah memberikan reaksi yang pelbagai termasuk daripada kalangan negara umat Islam yang menganggap Tholiban telah memberikan gambaran yang keliru tentang Islam manakala ada yang bersyukur kerana sekurang-kurangnya rakyat boleh bernafas untuk seketika.
Langit rupanya tidak cerah sampai ke petang, begitulah nasib kerajaan yang dibina oleh pelajar-pelajar madrasah ini, apabila mereka terpaksa membayar harga runtuhnya dua buah mercu tanda kapitalisme Amerika Syarikat dalam peristiwa 11 September 2001.Tragedi besar yang dirancang rapi oleh zionis ini dengan mudah dialihkan kesalahan kepada pemerintahan Tholiban yang dituduh melindungi Usamah dan pergerakan Al Qaeda dalam wilayah Afghanistan.
Tholiban tetap bertegas untuk melindungi Usamah dan akhirnya jutaan tan bom telah diranapkan untuk menghancurkan bumi tandus kontang ini. Tulang-tulang berserakan dengan hanyir darah menyimbah daerah-daerah perbukitan, umat Islam Afghanistan sekali lagi menjadi pelarian di Pakistan dan juga Iran.
Dalam masa yang sama, bekas alumni “University Jihad” Afghanistan ini menjadi buruan di negara masing-masing. Jerji penjara dan empat tembok bisu menjadi jawapan kepada pengorbanan mereka berjuang menentang Russia dalam dekad 80an. Algeria, Maghribi, Syiria, Saudi, Mesir, Tunisia dan Malaysia adalah contoh negara umat Islam yang melakukan penangkapan terhadap elemen yang mereka namakan pelampau Islam (irhabi, pengganas, militan).
Iv
Penulis memoir ini, Zainon Ismail (C.N Afghani) mungkin tidak dikenali oleh lapisan baru pecinta dakwah dan gerakan Islam Negara ini. Mungkin kerana tidak ada sorotan lensa kamera dan catatan wartawan merasa perlu untuk merakamkan kisah hidup beliau. Namun sebenarnya beliau pernah mencipta nama dalam dekad 90an hasil daripada tulisan-tulisan beliau mengenai jihad yang telah dituang ke dalam 13 buah buku.
Cikgu Non (nama mesra beliau) pernah menjadi penjawat awam iaitu pendidik di beberapa buah sekolah, yang terakhir ialah Sekolah Menengah Tajar, Alor Setar, Kedah. Cikgu Non juga memesrai anak-anak muda pelbagai lapisan dan pernah memimpin anak-anak muda Islam di Padang Terap. Ketika isu rampasan tanah Muassasah Darul Ulum dalam dekad 80an, beliau dan anak-anak muda yang lain menyingsing lengan berdada dengan pihak yang sentiasa mencemburui hasrat Parti Islam untuk membina kefahaman masyarakat dengan ilmu Islam. Di tapak yang menjadi kontroversi inilah , hari ini berdiri megah kompleks pendidikan Islam Darul Ulum yang diilhamkan oleh Almarhum Ustaz Fadhil Noor.
Beliau pernah menjadi wartawan harakah dan melontarkan kritikan mahupun idea-idea lewat penulisannya di dalam akhbar oposisi tersebut. Keceriaan dan kelasakan beliau bergerak ke seluruh negara dalam menyampai risalah Islam akhirnya terhenti seketika, beliau dan teman-teman yang lain ditahan di bawah ISA. Kem Kamunting menjadi saksi bisu akan kezaliman akta draconian ini. Beliau mendekam lebih daripada lima tahun, menjeruk kerinduan kepada keluarga tercinta, teman-teman yang setia, dunia penulisan (telah menghasilkan lebih 13 buah buku pelbagai tajuk) dan perjuangan Islam yang beliau sertai semenjak zaman belia. Saya teringat pula saat ‘banduan politik KMM’ ini diserap di Kamunting, pelbagai usaha pula dibuat di luar kem tahanan untuk membebaskan mereka. Saya dan teman-teman turut bergabung dalam Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) melakukan pelbagai kempen utnuk membebaskan tahanan tanpa bicara ini. Syed Ibrahim (Pengerusi GMI), Pak Abu, Kak Nuri, Kak Nashita, Kak Liza, Dr. Badrul Amin,Ustaz Azli@ Toliban dan ratusan aktivitis lain berkeliling negara mengadakan kempen memansuhkan ISA, mengedarkan risalah, poskad, mengutip tandatangan, menerbitkan buku, menerbitkan VCD khas kezaliman ISA, solat hajat, perarakan aman, teater, demonstrasi adalah sebahagian acara berkempen.
Menziarahi dan menyantuni keluarga mangsa-mangsa ISA adalah saat-saat memilukan, sebahagian besar keluarga mangsa ISA (KMM) ini hidup dalam keadaan susah. Menyorot bening mata anak-anak mangsa ini akan menyerlahkan kepada kita kezaliman yang ditimpakan kepada mereka.
Kesan daripada kempen anti ISA yang gencar ini, maka pemerintah telah melepaskan tahanan ISA (KMM) ini, cikgu Non telah dibebaskan tetapi dengan pelbagai syarat.
Beliau kehilangan masa menulis semasa dalam tahanan, kerana menulis adalah dilarang. Kesan tidak “mengetuk” keyboard computer dalam tempoh yang lama ini turut melunturkan bakat cikgu Non apatah lagi dengan kesihatan mula diranggus oleh penyakit sejajar dengan umur yang makin menjelang senja. Cikgu Non selama ini memang dikenali dengan keprihatinan yang mendalam terhadap kebajikan balu-balu dan anak-anak syuhada Memali (1985). Beliau berkongsi keuntungan berniaga dengan menyantuni mangsa-mangsa tragedi Memali yang dilupakan oleh rakyat negara ini. Semoga Cikgu Non dikurniakan dengan kelapangan dan kesihatan yang baik untuk terus memberi sumbangan kepada Islam.

Riduan Mohd Nor
Padang Balang

MEMALI : TRAGEDI BERDARAH 23 TAHUN LALU

Assalamualaikum w.b.t..

Sejauhmanakah generasi muda hari ini mengetahui peristiwa berdarah Memali yang berlaku pada 19 November 1985, iaitu semalam genap 23 tahun berlalu..???

Penulis yang ketika itu belum pun dilahirkan mengajak pengunjung bersama-sama menghayati kisah menyayat hati ini.. Para pejuang di Memali terpaksa membayar harga perjuangan mereka dengan nyawa dan darah..

Semalam 19 November, ratusan blog menyiarkan entri / artikel tentang peristiwa Memali, kisah perjuangan Islam menuju syahid yang tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan, itulah rahmat perjuangan Islam..

Kanak-kanak dan wanita menjadi benteng pertahanan


Memperingati Ulang Tahun ke-23
Tragedi Berdarah Memali

( 19 Nov 1985 – 19 Nov 2008 )

Tanggal 19 Nov 1985, Kg. Memali, Mukim Siong, Baling, Negeri Kedah Darul Aman di bumi Malaysia menjadi saksi satu tragedi yang sangat dahsyat dalam sejarah tanah air. Lebih 3000 anggota keselamatan dihantar oleh pihak pemerintah daripada regim Barisan Nasional untuk melakukan aksi penangkapan ke atas seorang tokoh ulama’ yang bersama di dalam Gerakan Islam di Malaysia iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Beliau yang mesra dengan panggilan Ust. Ibrahim Libya atau nama sebenarnya Ibrahim bin Mahmud merupakan pendakwah tanah air yang sebelumnya pernah berkhidmat bersama Pusat Islam Malaysia. Beliau yang telah sekian lama bersama PAS akhirnya mengambil keputusan meninggalkan Pusat Islam bagi meluaskan lagi ruangnya memberikan perkhidmatan kepada Parti Islam walaupun khidmatnya sangat diperlukan oleh Pusat Islam sehingga beliau pernah dii’tiraf sebagai pendakwah terbaik.

Dengan suaranya yang lantang dan tegas menghadapi kezaliman-kezaliman pihak pemerintah ketika itu yang diketuai oleh Perdana Menteri Tun.Dr Mahathir bin Mohamad, setiap majlis-majlis pidatonya pasti dihadiri oleh ribuan pendengar dikalangan penyokong dan pendokong gerakan Islam. Internal Security Act (ISA) yang dikuatkuasakan oleh pemerintah adalah merupakan diantara perkara yang sangat kuat ditentang oleh beliau selain dari sikap pemerintah yang dilihat tidak memandang Islam sebagai ‘Aqidah Negara serta jalan penyelesaian masalah ummah. Ditambah lagi dengan peribadi pemerintah yang dicemari amalan korupsi dan sebagainya membuatkan Ust Ibrahim begitu bersungguh dalam memberi semangat kepada ahli PAS agar berazam untuk membuat perubahan dalam kepimpinan Negara.

Sokongan dan dokongan kuat dari ribuan umat Islam di Malaysia yang mencintai perjuangan Islam menjadi ‘mimpi ngeri’ kepada pihak pemerintah. Ianya begitu menakutkan mereka yang mengimpikan kekuasaan dapat dipegang selama-lamanya. Akhirnya, pelbagai tuduhan, fitnah dan label-label jahat dilemparkan kepada PAS khasnya Ust. Ibrahim Libya. Alasan-alasan dicipta bagi membolehkan pihak pemerintah dengan mudah menangkap Ust. Ibrahim. Kerjasama antara pemerintah dengan pihak keselamatan mula dilakukan dengan hebat.

Menjelang operasi penangkapan, Kg.Memali dipantau dan dikepung hampir seminggu lamanya. Pertambahan bilangan anggota keselamatan dari sehari ke sehari persis ingin menghadapi satu bala tentera musuh yang besar atau pengganas yang sangat merbahaya yang diperlukan segera. Cerita-cerita karut yang direka mengenai kegiatan Ust. Ibrahim dan pengikutnya di Kg. Memali disiarkan di dada akhbar bagi mengelabui mata orang awam. Ust. Ibrahim yang istiqamah mengajar anak-anak muridnya di kalangan orang tua dan anak muda di Madrasah yang dibinanya dimaklumkan mengajar fahaman salah dan sesat. Semuanya berlaku dalam tempoh menjelang operasi.

Sangat dahsyat. Tanggal 18 Nov 1985, hampir segenap penjuru kampung telah terkepung, dibimbangi ada sasaran yang terlepas keluar. Penduduk Kg. Memali yang begitu setia bersama guru mereka terus bermunajat kepada Allah memohon keselamatan dan bantuan. Persiapan persenjataan ala kadar dengan senjata ‘orang kampung’ disediakan kerana bagi mereka mempertahankan diri dan nyawa yang diancam adalah satu kewajipan yang sangat besar. Namun apalah sangat dengan senjata ‘orang kampung’ berbanding pihak pemerintah yang mengahantar bala tentera dengan kelengkapan seolah-olah menghadapi peperangan yang besar. Berpuluh-puluh kereta perisai disediakan, lori water canon, gas pemedih mata, senjata, pelbagai jenis polis disediakan termasuk Pasukan Polis Hutan dan segala macam kelengkapan lain.

Anggota polis berpecah kepada dua kumpulan akibat berlainan maklumat yang diterima mengenai siapa sasaran dalam operasi ini. Ada yang mendapat maklumat, mereka akan menggempur perkampungan saki baki Komunis dan ada yang mendapat maklumat mereka akan menghadapi kumpulan pemberontak kerajaan. Namun, atas arahan dari pemimpin tertinggi pasukan polis yang mesti ditaati, mereka akur juga walaupun ada yang mengetahui bahawa dihadapan mereka bukanlah Komunis. Selepas kejadian, maklumat diterima bahawa pada malam serangan ingin dilakukan iaitu malam 18 Nov tersebut, sebahagian anggota polis bersuka ria dan berpesta besar di sebuah balai polis di Negeri Kedah. Antara anggota polis yang terlibat didalam operasi ini termasuklah dikalangan mereka yang bukan beragama Islam.

Antara watak utama dibelakang operasi yang disebut ‘Ops Komunis’ ini, Musa Hitam (Tim.PM), Dato’ Yahya Yeop (pemimpin tertinggi Polis Negeri Kedah) dan Dr.Mahathir sendiri . Mereka inilah yang memainkan peranan utama bagi memastikan tertangkapnya Ust Ibrahim Libya pada tarikh tersebut.

Keesokannya harinya, tanggal 19 Nov 1985, selesai Solat Subuh, Ust Ibrahim terus memberikan taujihat penuh bermakna kepada para pendokong perjuangan yang terdiri dikalangan anak-anak muridnya yang setia dengan majlis-majlis ilmu beliau. Antara lain, beliau mengingatkan kepada ahli jama’ah supaya jangan ada yang lari dari perjuangan yang sedang dihadapi ini serta menyebut mengenai kelebihan mati syahid. Seluruh ahli jama’ah semakin kuat azam dan tekad untuk tidak menyerahkan Ust Ibrahim kepada pihak pemerintah. Mereka rela mati demi mempertahankan As-Syahid.

Antara mereka yang rapat dengan Ust Ibrahim ialah Sdr. Yusuf Husein dan Pak Teh Mat Piah (sudah meninggal). Mereka inilah antara yang kerap melakukan rundingan dengan pihak keselamatan pada hari tersebut agar mengelakkan berlakunya pertumahan darah khasnya orng ramai. Namun, Ust Ibrahim tegas dengan pendiriannya untuk tidak menyerahkan dirinya kepada kerajaan yang zalim kerana baginya, beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan atau jenayah. Tugasnya hanya memberi nasihat kepada pemerintah yang begitu kuat menganut fahaman Nasionalisme dan Sekularisme yang bertentangan dengan Islam.

Berita kehadiran anggota polis untuk menangkap Ust Ibrahim akhirnya berjaya dihidu oleh pasukan tentera Malaysia yang berada di Negeri Kedah. Bahkan dikalangan mereka juga terdapat anggota-anggota yang sering mengikuti pengajian-pengajian agama daripada Ust Ibrahim. Beberapa orang di kalangan mereka akhirnya bergegas ke Kg. Memali dan memberikan peringatan kepada pasukan polis agar mengelakkan serangan. Dengan bilangan mereka hanya beberapa orang membuatkan pihak polis tidak mempedulikan.
Di kalangan anggota tentera ini ada yang menyebut, “ingat ! hari ini hari kamu. Boleh jadi satu masa nanti kita akan bertempur”. Lalu mereka meninggalkan tempat tersebut. Setelah dilihat Ust Ibrahim enggan lagi bertemu mereka, akhirnya orang kampung diberi arahan agar berundur ke belakang. Serangan akan dilancarkan. Namun.....
Teruskan membaca di SINI

" Jangan kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki"

- Ali Imran 169.


19 NOVEMBER 1985???? SYUHADA' MEMALI, LUPAKAH KITA

Sunday, December 14, 2008

Mukadimah.

"Sesungguhnya mereka adalah belia-belia (pemuda-pemuda) yang beriman dengan Tuhan mereka, dan kami tambahkan pada mereka petunjuk, kami tambatkan hati mereka dengan kimanan dan keyakinan, dikala merekab bangun menentang kufur dan jahilliah dengan beraninya dan berkata "Rabbunallah"........ Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi, kami tidak akan menyeru tuhan lain daripadaNYA. Jika sekiranya kami lakukan begitu (menyeru lain daripada 'Allah) maka kami telah berucap dengan kata-kata yang jauh dari kebenaran." - (Al - Kahfi : 13 - 14) .

"Sesungguhnya 'Allah telah membeli dari orang-orang mukmin akan nyawa mereka dan harta mereka dengan bayaran syurga untuk mereka yang berperang pada jalan 'Allah, lalu mereka membunuh dan terbunuh, sebagai satu perjanjian yang benar yang tersebut dalam Taurat, Injil dan Quraan." - (At - Taubah : 111).

"Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugor di jalan 'Allah itu mati: bahkan mereka itu hidup disisi Tuhannya dengan mendapat rezeki. Mereka dalam keadaan gembira di sebabkan karunia 'Allah yang diberikanNya kepada mereka, dan mereka bergirang hati terhadap oran-orang yang masih tinggal dibelakang yang belum menyusul mereka, bahawa tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati. Mereka bergirang hati dengan nikmat dan karunia yang besar dari 'Allah, dan bahawa 'Allah tidak menyianyiakan pahala orang-orang yang beriman (Yaitu) orang-orang yang mentaati perintah 'Allah dan RasulNYA sesudah mereka mendapat luka (dalam peperangan Uhud). Bagi orang-orang yang berbuat kebaikkan diantara mereka dan yang bertaqwa ada pahala yang besar." - (Al - Imran : 169 - 172).

'Takutilah doa mereka yang Kena - Dzalim, sesungguhnya diantara doa-doa mereka dengan 'Allah tiada sebarang hijab-sekatan.' - (Hadith Riwayat : Bukhari dan Muslim).


Mengimbau.


PESANAN AKHIR


Saudara!
Seandainya kau tangisi kematianku,
Dan kau siram pusaraku dengan airmatamu
Maka Diatas tulang-tulangku
Yang hancur luluh,

Nyalakanlah obor buat ummat ini
dan...................

Teruskanlah perjalanan ke Gerbang Jaya.
Saudara!!!!!!!
Kematianku adalah suatu perjalanan
Mendapatkan Kekasih yang sedang merindu
Taman-taman syurga Tuhanku bangga menerimaku
Burung-burungNYA berkicak riang menyambutku
Bahagialah hidupku di Alam Abadi.

Saudara!!!!!!!!
Puaka kegelapan pasti akan hancur
Dan alam ini akan disinari fajar lagi
Biarlah rohku terbang mendapatkan rindunya.
Janganlah gentar berkelana di alam abadi

Nun!!!!! disana fajar sedang memancar.......................


Lupakah Kita?

Sudah luputkah daya ingatan kita (khusus dan khasnya ahli-ahli penjawat Jawatan dalam PAS/Penjawat Awam Kerajaan PR dikalangan ahli-penyokong PAS) kepada bait-bait sajak diatas? Sudah tidak ada nilai sejarah dan nilai perjuangan sehubungan tarikh diatas? Lupakah kita??????? Sehari menjelang tarikh tersebut ulang tahun 23 tahun berlakunya peristiwa tersebut, saya bergelut dengan teman setia yang kronik, tembok panjang memintas dan menghalangi untuk menitip tinta mengimbau sejauh dan seingat akan sejarah peristewa tersebut dengan asthma-lelah. Sesungguhnya peristiwa "Syuhada' Memali" ini sentiasa saya ingat dan kenangkan sekalipun ianya berlalu menjangkau 23 tahun lamanya.

Hari ini (16 Zulhijjah 1429-Ahad/14 Disember 2008) sekali pun agat lewat tetapi tidak saya lupakan peristiwa tersebut yang belum selesai ditangani KDN sampai saat ini dinukilkan. Mudah-mudahan akhie YB Senator Haji Yusoff Hussein - "Pak Chuk" sentiasa mengingatinya dan lakukanlah sesuatu diatas nama Kerajaan PR Negeri Kedah Darul Aman, mengingati Almarhom Syuhada' Memali dan menangani keluarga-keluarga mereka oleh Kerajan PR Negeri Kedah kini yang dipimpin oleh Menteri Besar YAB DS Ustaz Azizan Razak (kalau saya tertinggal dan tersalah pandang info terkini sehubungan tajuk dibicara ini, saya memohon maaf).

Tarikh 19 November 1985 adalah tarikh pembunuhan resmi kerajaan BN/UMNO keatas Ulama' PAS, ahli dan penyokong PAS bersekali dengan 14 anak muridnya di Kampong Memali, Mukim Siong, Daerah Baling Kedah Darul Aman menjadi syahid. UMNO/BN menerusi kroni upahannya yakni Anggota Keselamatan telah menyerang dan melakukan pembunuhan dengan menembak mati dan Syahidnya saorang Ulamak muda iaitu Almarhom Ustaz Ibrahim Mahmood Libya. Peristewa ini dinobat dan dikenali oleh dunia khususnya dikalangan ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS sebagai "Syuhada' Memali". Manakala bait-bait sajak "PESANAN AKHIR" adalah hasil karya besar dihari-hari akhir Almarhom Ustaz Ibrahim Mahmood menulis tinta untuk tatapan kepada kita semua. Dikenang diulit ingat jenerasi demi jenerasi.

Selain Almarhom Ustaz Ibrahim Mahmood Libya yang syahid mengiringi menjadi syuhada' dimakamkan dalam satu liang lehad di Parit Panjang, adalah seramai 13 syuhada' yang lain, iaitu;-

1 - Ash Syahid Abdullah Bin Yasin

2 - Ash Syahid Cikgu Shafie Bin Ali

3 - Ash Syahid Zakaria Bin Ahmad

4 - Ash Syahid Hambali Bin Senang

5 - Ash Syahid Abdul Manaf Bin Wadin

6 - Ash Syahid Idris Bin abdul Kadir

7 - Ash Syahid Mohd Daud Bin Abdul Kadir

8 - Ash Shahid Ahmad Bin Ismail

9 - Ash Syahid Haji Abdullah Bin Saman

10 - Ash Syahid Mohd Araf Bin Hashim

11 - Ash Syahid Ghazali Bin Haji Saman

12 - Ash Shahid Zamri @ Sobri Bin Mohd Isa dan

13 - Ash Shahid Ustaz Ahmad Bin Hassan


Semua syuhada'-syuhada' ini dimakamkan didalam satu liang lehat di Parit Panjang disemadi selayaknya sebagai syuhada'. Manakala jenazah yang paling awal dikeluarkan dari kamar mayat Hospital Sungai Petani adalah jenazah Almarhom Ash Syahid Ustaz Ahmad Bin Hasaan dibawa pulang dengan keadaan yang tergesa-gesa oleh waris dan kelurganya dimakamkan di kampong kelahirannya Tanjung Bedil, Alor Setar (pengunjung blogku sekalian, sedekahlah Al Fatehan untuk semua syuhada' Memali - Al Fatehah!!!).

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ (١)
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (٢) ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
(٣) مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ (٤) إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ
(٥) ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٲطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (٦)
صِرَٲطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ (٧)

Kenapa jenazah-jenazah mereka tidak ditempat dan dikuburkan di kariah mereka dikampong Memali? Kampong Memali ketika itu adalah diperentah berajakan Polis dan tentera dengan tandu dalangnya adalah UMNO/BN yang mendesak setiap kali mereka mengadakan Persidangan UMNO perengkat pusat di KL agar tindakan diambil keatas Ustaz Ibrahim Libya, kerana usaha-usahanya ketika itu mengancam dan membahayakan kepada UMNO. Memali berada didalam dharurat, perentah berkurung-curfew 24 dijalankan dipersekitaran kampong Memali dan kampong persekitaran dengannya. Maka keputusan resmi dari PAS mereka syuhad' ini, ditempatkan jenazahnya di Kubur Panjang.

Beberapa bulan selepas syuhada' dimakamkan di makam Parit Panjang, kebawah DYMM Tuanku Al Sultan telah sudi mencemarkan Duli Tuanku menziarahi dan menabur bunga rampai dan merenjis air mawar dipusara syuhada'-syuhada' tersebut diiringi oleh Almarhom PSJ PAS Ustaz Fadzil Nor, Almarhom TG Pak Ya Joned, Almarhom TG Ustaz Azahari dan ribuan ahli-ahli PAS dan penyokong yang lain mengiringi Tuanku. Justeru Tuanku Al Sultan secara resminya menafikan tuduhan yang dihala tuduhkankan oleh Kerajaan BN-UMNO keatas hamba rakyat Tuanku. Alhamdulillah. Masakan pendurhaka kepada agama dan negeri akan dilawati dan Tuanku Al Sultan mencemar Duli menziarah?


Statistik, Pembunuhan Memali.

Meninggal dikalangan Polis - 4 orang
Syuhada' Orang Awam - 14 orang
Mengalami kecederaan - Orang Awam - 20 orang
Mengalami kecederaan - Polis - 9 orang

Serentak dengan pembunuhan orang-orang awam yang ditangkap ketika itu adalah :-

Orang awam lelai - 118 orang
Orang awam perempuan - 29 orang
Kanak-kanak (11 tahun keatas) - 12

JUMLAH yang ditangkap adalah 159 orang mangsa. Banyak rampasan dan khazanah milik Ustaz Ibrahim termasuk wangnya sampai kini tidak dikembalikan. Hatta perbicaraan keatas mangsa-mangsa Memali yang masih hidup ditangkap dahulu, perbicaraan mereka tidak selesai sekalipun ianya telah mencapai masa lebih 23 tahun.


Watak-watak bajingan.

Pelaksanaan serangan keatas penduduk kampong Memali dan berakhir dengan pembunuhan, mati dipehak polis dan syahid dikalangan penduduk, ianya melalui titian dan rentetan yang panjang sahamnya dimiliki khusus oleh dikalangan UMNO Bahagian Baling dan UMNO Pusat dan beberapa pehak Penjawat Awam beruniform dan non beruniform yang lain sebagai rangkaian berpadu tenaga bersekonkol menjalankan perentah yang sememangnya mereka ketahui letak duduk benar atau salahnya. Ianya berakar, disirami desakkan dan mengembanglah api amarah dan kebencian meninggi UMNO/Polis kepada PAS khususnya kepada Ustaz Ibrahim Mahmood. Fitnah menjadi raja; nyawa syuhada' menjadi tarohan dan mangsanya.

Aku akan ulangkan sampai roh dihalkum akan ku ceritakan kepada anak-anakku peristewa ini berpandukan versi pegangan agamaku dan pedoman dari Ulama' partiku tunjangi PAS, dulu, kini dan selama-lamanya, Inshaallah.

Sebaik peristewa pembunuhan tersebut meletus, maka semua saluran media, khususnya RTM, TV dan surat Khabar Perdana yang dikuasai sekian lama ditunggangni oleh UMNO/BN, maka ianya berfungsi dengan sepenuhnya, cover menabur cambahkan bibit fitnah, hasutan dan tuduhan agar rakyat jelata khusus dan khasnya rakyat Negeri Kedah Darul Aman agar bersama-sama bersekonkol menerima, akur dan menghalalkan pembunuhan beramai-ramai di kampong Memali tersebut. Pembunuhan ini puncanya adalah balutan dan salutan sentimen sempit kepartian yang bermotifkan politik sempit.

Dalam apa-apa perkara atau sesuatu peristewa itu pastilah wujudnya persimpangan dua hala yang tidak akan menemui pertemuan. Iaiatu penentang dan penyokong. Penyokong dan bersorak gembira adalah dikalangan ahli UMNO dan penyokong-penyokongnya. Manakala penentang adalah ahli PAS serta penyokong-penyokongnya. Bantahan PAS yang dihadapannya diketuai oleh Pimpinan Ulama' yang berwibawa dengan alasan berlandaskan Al Quraan, Hadis, Ijma' dan Kias bertanggungjawab berdada berdepan dengan fitnah tuduhan jahat keatas ahli dan penyokong PAS yang dibunoh dilemparkan sebagai 'pendurhaka' maupun 'burah'.

Sesungguhnya, Ulama' dan Pimpinan Perdana dan Pimpinan PAS Kedah semasa pembunuhan tersebut berlaku yang menghasilkan "SYUHADA' MEMALI", mereka-mereka juga telah kembali menemui penciptaNYA yakni 'Allah, dengan terlebeh dahulu pergi meninggal kita. Terakhir dikalangan pimpinan meninggal dunia adalah Almarhom Ustaz Suhaimi Haji Ahmad (mantan ADUN Kupang).

Tokoh-tokoh negara UMNO-BN dan Kerajaan ketika itu ialah Pengarahnya adalah Datuk Musa Hitam sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Hal Ehwal Keselamatan Dalam Negeri manakala timbalannya adalah Razi Sheik Ahmad (anak kepada mantan MB Perlis). Dalam masa yang sama Musa Hitam mempunyai hubungan yang erat dengan manusia yang berpengalaman dalam membunuh Ulama' dan anak-anak muridnya di Tanjung Periok Indonesia iaitu Panglima Angkatan Tentera Indonesia ketika itu iaitu Jenderal Beni Murdani.

Manakala pelakon-pelakon utamanya diantaranya adalah menteri penerangan ketika itu Rais Yatim. Perdana Menteri adalah Dr Mahathir Mohamed yang bersikap acuh dan keadaan memerli apabila wartawan menaya beliau sebaik kembali dari luar negara, "Apa Syahid???? Mana ada Syahid!!!!!!!!!!"
Menuai Diatas Mengalirya Darah Syuhada'
Saya perpegang dan berdiri teguh dengan pernyataan ini, bahawa sesungguhnya perjuangan pejuang terdahulu didalam PAS; penyokong-penyokong setia dan pendukong setia PAS sejak dahulu dengan penuh keiklasan tanpa memohon menadah upah, duit kupang yang mereka jana infaqkan untuk perjuangan ini. Masa yang panjang mereka kurbankan. Peluh yang memercik dan menitik membadai menjalankan arahan kerja maupun secara sukarela. Berbekalkan ilmu yang sedikit ditanam solid dihati nurani teguh tumang iman oleh guru-guru mereka. Mempertahankan hak diri, hak agama dan hak 'Allah; mereka terkurban dan terbunuh dengan darah merah mereka mengalir. Kemana perginya darah mereka yang mengalir itu???
Sesungguhnya, Kerajaan Pakatan Rakyat yang dikepalai oleh PAS yang Menteri Besarnya adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah YAB DS Ustaz Azizan Razak dan dibantu oleh pembantu-pembantu yang lain, bibit-bibit kejayaannya diantaranya adalah manipestasi kematian syuhada' Memali. Mudah-mudahan para Syuhada; Memali kini roh mereka berada ditempat dan persada yang 'Allah janjikan dengan mereka dan mereka pula telah menunaikan janji 'Allah itu.
Terbelakah keluarga-keluarga syuhada' Memali? Bagaimana nasib bini emak bapa mereka sekiranya masih panjang usianya. Bagaimana dan dimana pula nasib dan berada semua anak-anak Syuhada' Memali berada? Saya kemukakan soalan ini untuk diri saya yang fakir ini menjawab dan membelanya. Saya juga halatujukan soalan ini terus kepada Kerajaan Negeri PR Kedah sekarang dan pada pendukung setia perjuangan ini. Maaf!!!!!!!!!!!!!!!!!
Bagaimana keluarga Syuhada' Lubuk Merbau Ash Syahid Othman Talib. Bersama-samalah kita menjejakinya dan seada-adanya kita menangani agar tidak terkepas pandang.
Wasallam.
Salam hurmat dari : Ibn Abdullah Awab.

KISAH MEMALI - Part 4


Assalamualaikum,

(Meneruskan cerita Memali)

Dlm part 3, kita menceritakan bagaimana al-syahid telah mengasaskan penubuhan Madrasah
Islahiah Diniah, Memali, dan kita juga menceritakan latarbelakang pendidikan dan
kerjaya beliau yang bukan sebarangan. Kali ini, kita lihat pula beberapa peristiwa
penting yang berlaku sebelum hari kejadian tanggal 19 November 1985.

Sekitar pertengahan tahun 1980an, kebangkitan Islam di Malaysia telah menyaksikan
peralihan pucuk pimpinan PAS daripada kumpulan yg berbau Nasionalist kepada kumpulan
Ulamak di bawah pimpinan Tuan Haji Yusuf Rawa. Sejajar dengan kebangkitan itu juga,
muncullah penceramah-penceramah jenis 'membujur lalu melintang patah, tak takut pada
ugutan, tak takut pada celaan' seperti Ustaz Hj Hadi Awang, Ust Ghazali Abdullah, Mat
Sabu, Bunyamin Yaakob dan lain-lain. Masih saya ingat, saya sempat melihat poster
'Amanat Haji Hadi' tergantung megah di rumah salah seorang hardcore PAS di pedalaman
Kedah. Sudah lama saya tidak ke rumah beliau, teringin rasanya nak melihat semula
poster itu.

Ceramah-ceramah PAS pada ketika itu memang hangat, memang panas dan selalu mendapat
sambutan ramai. Perbezaan akidah antara perjuangan PAS dan UMNO diterangkan satu
persatu; dan sama ada kita suka atau tidak, kejahilan masyarakat terhadap sistem hidup
dan sistem undang-undang Islam ketika itu telah menyebabkan keluarnya
kenyataan-kenyataan balas terhadap isu ini - yang terang-terang boleh membatalkan
syahadah, seperti:

"HABIS TU, KALU SEMUA ORANG KENA POTONG TANGAN, SIAPA PULA NAK GI MENOREH?" atau
"HUDUD, ZAMAN UNTA BOLEH LA!!".

Bagi mereka yang menerima pendedahan terperinci mengenai sistem hidup Islam, both
hablum-minallah dan hablum-minannas, mereka jadi kaget dengan ucapan-ucapan yang
sedemikian. Kerana mereka tidak punya kuasa untuk mengubah pemikiran orang, demi
menjaga maruah agama, nak tak nak mereka terpaksa bergerak dalam kumpulan atau jemaah
mereka sendiri.

Di ketika itu jugalah wujudnya apa yang dikatakan sebagai isu pulau memulau dan kafir
mengkafir. Ini ini termasuk juga isu sembahyang dua imam, sembelihan tak sah, akad
nikah tak sah menjadi lebih sensasi lagi bila media-media kerajaan turut sama
menggembar gemburkannya.

Dan seperti biasa, PAS lah yang dipersalahkan. Lantaran publisiti-publisiti yang berat
sebelah itu, wujudlah
desakan-desakan dari - siapa lagi kalau bukan dari Tukang Kipas - Tukang Kipas UMNO,
mendesak agar PAS diharamkan!

HASILNYA - UMNO TELAH DIHARAMKAN PADA 4 FEBRUARY 1988!!

Apa-apa pun, sambutan masyarakat terhadap PAS dan juga kebangkitan idealisme
perjuangan Islam makin hari makin meningkat. Keadaan ini menyebabkan pihak-pihak yang
berkenaan jadi tak senang duduk, kata orang, "mandi tak lena tidur tak basah" -
semuanya serba tak kena [sebab tu peribahasa ni ditulis sebegitu rupa]. Di kemuncak
keresahan mereka, maka berduyun-duyunlah pemimpin-pemimpin PAS dicekup ISA pada tahun
1984. Antaranya ialah Ustaz Abu Bakar Chik, Hj Ghazali Abdullah, Bunyamin Yaakob dan
Mat Sabu serta ramai lagi.

Waran tangkap untuk Al-Syahid Ust Ibrahim Libya juga turut dikeluarkan pada tahun
tersebut. Tetapi, beliau berkeras untuk tidak menyerah diri. Maka, buruan ke atasnya
pun bermula!!

Tidak ramai orang tahu ke mana beliau menghilangkan diri; tetapi dalam pertemuan
dengan salah seorang sahabat dari Memali minggu lepas, saya diberitahu bahawa beliau
bersembunyi tidaklah begitu jauh - setakat Sik dan di sekitar Parit Panjang sahaja.
Untuk maklumam, di perkuburan Parit Panjang lah tempat al-syahid dan sahabat sahabat
kini bersemadi!

Walau pun dalam keadaan bersembunyi, al-syahid tetap pulang ke Memali menyampaikan
kuliah kepada sahabat2 rapatnya, cuma sudah tidak keluar berceramah. Orang mungkin
bertanya, kenapa beliau tidak mahu menyerah diri?

Kata Pak Teh Mat Piah dalam buku "Perisai Memali":

"USTAZ IBRAHIM KATA, DIA TIDAK AKAN SERAH DIRI, KERANA DIA TIDAK MELAKUKAN APA-APA
KESALAHAN!!"

[Sebetulnya, hingga ke hari ini saya masih tertanya-tanya apakah kesalahan Ust Ibrahim
Libya. Kalau kita tengok mereka yg kena ISA macam Mat Sabu tahun 1984 tu, tak nampak
pun apa-apa kesalahan mereka. Wallah hu Aklam].

Saya pernah mendengar seorang hamba Allah dari Baling berkata (lupa nama), "Ala, kalau
Polis betul-betul nak tangkap Berahing Libya, tak payah dok gi kepong rumah dia,
tunggu la dua tiga bulang, mesti dia keluwa pekang Baling beli ikan masing ka, apa-apa
ka!".

Mesti ada sebab lain yang menyebabkan pihak polis bertindak sedemikan rupa. Ada dua
cerita.

Pertama: Cerita Musa Hitam

Saya pernah menyimpan keratan akhbar Utusan atau BH yang mengaitkan Musa Hitam dengan
kejadian Memali, tetapi sayangnya sudah hilang dari simpanan. Dikatakan orang bahawa
Musa Hitamlah yang bertanggungjawab mencetuskan tragedi itu untuk menjatuhkan
Mahathir. Menurut ceritanya, kalau orang Kedah sudah bencikan Mahathir kerana isu
Memali, maka Mahathir akan jatuh di Kedah, dan secara otomatik kedudukannya di Pusat
juga tergugat, maka mudahlah Musa Hitam take over.

Theori ini agak popular di Kedah pada masa itu, terutamanya di kalangan orang-orang
UMNO yang bersimpati dengan mangsa Memali. Dua tiga minggu selepas kejadian, seorang
sahabat memberitahu saya, katanya Polis Hutan yang diarah ambush Memali tiba di Baling
dalam kegelapan pagi. Mereka diberi arahan untuk ambush 'Bandit' [Komunis]. Baling
pada ketika itu memang terkenal sebagai tempat komunis bertandang. Ada orang kampung
yang terkenc*ng terserempak komunis ketika sedang menoreh. Kisah komunis menyerang
hendap trak2 askar di lereng bukit di Ulu Lenggong Baling pernah menjadi berita utama
sekitar awal 80an.

Pasukan Polis hutan pun bersedia untuk menyerang, peliknya bila hari sudah agak siang,
kedengaran bunyi ayam kokok dan bunyi orang bang; baru mereka perasan bahawa itu
sebenarnya kawasan kampung, bukan kem Bandit. Lalu, mereka pun menghubungi Kuala
Lumpur meminta kepastian, tapi diberi tahu "Ikut Arahan!".

Dan, kata sahabat itu lagi, "Arahan itu datangnya dari Musa Hitam".

Wallah hu aklam. [Saya sendiri tak pasti cerita ini, tetapi kerana itulah yang
dibualkan orang pada ketika itu, maka saya tuliskan di sini, percaya jangan, cuma
ambillah cerita ini sebagai pengajaran].

ENTAH BETUL ENTAH TIDAK, ENTAH ENTAH INILAH THEORY MAHATHIR NAK MENJATUHKAN MUSA HITAM
- POLITIK UMNO, BIASALAH!!!

Cerita yang kedua insyaallah sahih, dan boleh diterima.

Kedua: Cerita Ketua Polis Kena Tawan

Apabila makcik dari Memali menceritakan kisah Ketua Polis Baling kena tahan dan
ditawan oleh orang-orang kampung beberapa minggu sebelum hari kejadian, saya antara
percaya atau tidak. Ya, saya memang ada mendengar kisah ini sekitar tahun 1985 atau
1986 dulu, tetapi bila saya mendengar dari mulut seorang anak Memali, saya termenung
seketika, sebab selepas kejadian Memali itu, 1001 macam cerita yang saya dengar, saya
tak pasti yang mana betul yang mana tidak. Pernah saya memberitahu seorang sahabat
bila ditanyakan cerita Memali; kata saya

"CERITA YANG AKU DENGAR DARI ORANG UMNO DAN ORANG PAS PUNYA 2 VERSI YANG BERBEZA,
BAGAIKAN BELAKANG DAN DEPAN TAPAK TANGAN, 180 DARJAH BERBEZA".

Saya jadi pasti apabila cerita Ketua Polis ditawan ini juga ada terdapat dalam buku
"Perisai Memali" tulisan CN Al-Afghani .

Dua-dua ceritanya sama dari segi cara dan sebab kereta itu ditahan. Sebuah van milik
anak buah al-syahid telah ditahan dengar drebarnya sekali kerana pihak polis menemui
senjata tajam dalam van tersebut. Ini menimbulkan kemarahan pada orang2 kampung ,
lantaran itu ada yang bertindak sendiri-sendiri.

Sebuah kereta ronda polis ditahan ketika sedang membuat rondaan di sekitar Memali,
anggotanya termasuk Ketua Polis Baling telah ditahan sebagai tebusan. Orang-orang
kampung mahukan drebar van yg ditahan di balai polis itu dibebaskan sebagai tukaran.

Menurut buku "Perisai Memali", Ketua Polis itu sempat merasakan pedang tajam
diletakkan di tengkuknya. Menurut Makcik dari Memali itu pula, anggota polis itu
diikat matanya, dan ditempelang kiri kanan. Akhirnya, pihak polis bersetuju
membebaskan pemandu van itu sebagai ganti. Ingatkan cerita itu selesai kat ini, tapi
tidak. Dikatakan orang, rasa marah polis inilah yang menyebabkan habis satu kampung
Memali diamukkannya.

PENGAJARAN: ADA BENDA YANG KITA JANGAN CUBA-CUBA NAK BUAT KALAU BELUM BERSEDIA NAK
JADI MACAM ORANG KG BHARU ATAU KG MEMALI!!

Cerita Memali sudah jadi sejarah, tetapi bagi makcik tersebut, ianya tak kan dapat
dilupakan selama-lamanya. Cara beliau bercerita seperti ada nada kesal kerana kaum
keluarganya telah ditembak tanpa bersenjata, dan kadang-kadang ada sedikit rasa bangga
di atas keberanian anak-anak kampungnya. Kata beliau, "Budak-budak kampung Memali, tak
leh kata la, berani sungguh - sekali tu, dema letak batang pisang tengah jalan, tahan
kereta perisai polis, lepas tu gi takei (tetak) tayar kereta perisai tu".

TU DIA HAIH - WALAU PUN TAHU TAYAR KERETA PERISAI TAK LUT SENJATA, TAPI MEREKA BERANI
- MASYAALLAH!!

Secara peribadi, saya merasakan bahawa tragedi penahanan Ketua Polis Baling ini lah
yang mendekatkan kampung Memali kepada tragedi berdarah 19 November 1985. Insyaallah,
jika ada kelapangan, saya akan menulis detail cerita semasa hari kejadian itu,
termasuk beberapa pengajaran-pengajaran penting yang boleh diambil untuk iktibar
bersama.

Perjalanan Hidup Ayahanda Tersayang -Memali...nukilan seorg anak

Oleh: MOHD ZUHDI MAT PIAH
Kuliah Syariah Islamiah Universiti Al-Azhar Tanta


Setiap manusia pasti ada hari-hari bersejarah baginya, samada sejarah itu menggembirakan atau sebaliknya, alhamdulillah baru sahaja lima hari saya menyambut kegembiraan dengan datangnya hari kelahiran yang ke24, namun hari ini datang pula saat yang menyedihkan bagi diriku, keluarga dan semua yang mengenali ayahanda tercinta.
Mat Piah Yunus atau lebih dikenali dengan panggilan pakteh dilahirkan pada 2 Ogos 1946 merupakan seorang ayah yang cukup penyayang dan tegas kepada anak-anaknya terutama sekali dalam bab solat lima waktu, pernah sekali saya melihat abang dirotan kerana meninggalkan solat. (alhamdulillah diriku tidak pernah dirotan oleh ayah hehe…).
Ayah bukanlah seorang graduan dari mana-mana universiti tetapi ayah amat mementingkan ilmu agama dan beramal dengan setiap ilmu yang diperolehinya, sebab itulah ayah selalu bersama dengan ‘alim ulamak dan para ustaz yang dikenalinya.
Ketika tinggal di Parit Panjang berdekatan dengan Pondok Lanai, ayah selalu mendampingi Tuan Guru Haji Omar Zuhdi salah seorang ulamak yang terkenal di negeri kedah, di sinilah ayah banyak menimba ilmu agama serta mempelajari kitab-kitab turath yang nipis mahupun tebal dari guru kesayangannya itu dan di sini jugalah tempat saya dilahirkan, seterusnya pada pertengahan tahun 1985 selepas tinggal di sini agak lama kami sekeluarga pulang semula ke tempat asal ayah iaitu kampung Tanjung Pari.
Sedikit Coretan Tentang Peristiwa Memali
Ketika di kampung, ayah bersahabat dan terlalu akrab dengan Ust. Ibrahim Mahmod atau lebih dikenali Ibrahim Libya, boleh dikatakan ayah selalu bersama beliau dan mengikuti pengajian yang disampaikannya, akan tetapi pertemuan dan keakraban mereka tidak lama kerana beliau terlebih dahulu dipanggil oleh Allah swt dalam peristiwa bersejarah yang telah mengorbankan 14 nyawa sebagai syuhada’ di Memali, Baling Kedah.
Peristiwa yang berlaku hampir 23 tahun yang lalu sungguh segar dalam ingatanku, walaupun ketika itu saya baru berusia hampir dua tahun, kerana ayah merupakan mangsa yang terlibat secara langsung, dan ayah merupakan salah seorang daripada saksi utama dalam peristiwa pembunuhan di Memali tersebut.


Peristiwa ini terjadi ketika Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysiaberada di Negara China, Dato’ Seri Musa Hitam menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato’ Radzi Ahmad selaku Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Apa yang boleh saya kongsikan dengan para pembaca sekalian, peristiwa pembunuhan yang berlaku di Memali adalah rentetan daripada sifat tidak senang hati pihak pemerintah terhadap perkembangan dakwah yang disampaikan oleh Ust. Ibrahim Mahmod atas pentas Parti Islam SeMalaysia (PAS), kebimbangan pemerintah pada ketika itu amat jelas dengan ugutan hendak menahan beliau di bawah akta keselamatan dalam negeri (ISA), tetapi keikhlasan beliau dalam menyampaikan dakwah amat terserlah, beliau tidak pernah gentar dengan berbagai-bagai ugutan dari pihak pemerintah yang zalim pada ketika itu malah beliau tetap meneruskan kerja dakwahnya.
Ust. Ibrahim tidak pernah merompak, tidak pernah membunuh, tidak pernah melarikan anak gadis orang dan tidak pernah melakukan sebarang jenayah, malah beliau pernah berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri sebagai Timbalan Pengarah di Institut Dakwah Islamiah Malaysia. Sebagaimana telah dijangka bahawa Ust. Ibrahim tidak sanggup berada lama di bawah ikatan pemerintah yang zalim dan tidak berpaksi kepada tuntutan agama, lalu meninggalkan segala kedudukannya untuk balik ke kampung halaman mencurahkan bakti sebagai pendakwah, pendidik dan bergerak aktif dalam politik Islam.
Kenapa perlu menahan Ust. Ibrahim? Apa jenayah yang telah dilakukan oleh beliau? Terbukti beliau tidak pernah melakukan jenayah, maka tiada sebab untuk beliau menyerah diri dan tunduk kepada akta zalim ISA yang sememangnya tidak akan mendapat keadilan di mana-mana mahkamah dalam Negara Malaysia.
Secara ringkasnya pada 18 Nov 1985 sekitar jam 7.35 malam, 3600 kekuatan pasukan polis dari pelbagai bahagian termasuk FRU Pulau Pinang, Senoi Prak, Komando 69 bersiap sedia menerima arahan. Seorang pegawai tinggi dari Bukit Aman mengetuai ‘Operasi Hapus’ ini dengan bantuan beberapa orang lagi pegawai dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Arahan yang dikeluarkan adalah menyerang Kem Komunis dalam daerah Baling, arahan ini ternyata palsu kerana sebenarnya serangan tersebut disasarkan kearah Ust. Ibrahim Mahmod, pengikut-pengikutnya dan sesiapa sahaja yang hadir di rumahnya.
Malam itu ayah berada di rumah Ust. Ibrahim bersama pengikut-pengikutnya yang lain untuk mengikuti pengajian, selepas habis pengajian ayah tidak terus pulang ke rumah malah tetap bersama-sama sahabat yang lain bermalam di rumah Ust. Ibrahim kerana memikirkan kemungkinan akan berlaku sesuatu yang tidak dijangka.
Dalam suasana keheningan malam itu, Ust Ibrahim mengarahkan pengikut-pengikutnya membuat persiapan dengan berwuduk, kemudian mereka menunaikan solat hajat dan membaca surah yasin dan berzikir. Seterusnya Ust. Ibarahim memberikan ucapan dengan mengatakan bahawa, beliau lebih rela bersyahadah (mati syahid) daripada menyerahkan dirinya kepada kezaliman pemerintah pada ketika itu, lalu beliau meminta sesiapa yang curiga dan ragu dengan pendiriannya untuk menempah syahid boleh meninggalkan tempat ini, namun tiada seorang pun yang mahu berganjak dari tempat tersebut, laungan ALLAHU AKBAR terus bergema bertalu-talu memecahkan keheningan malam di kampung Memali, yang hadir lebih memilih jalan syahid daripada terus hidup mengabdikan diri ke jalan yang hina.
Awal pagi 19 Nov 1985, 3600 anggota polis berbagai unit tiba di kampung Memali dengan kelengkapan senjata automatik dan kereta perisai, lalu mereka mengepung kawasan kampung tersebut dengan sekatan jalan raya dan sebagainya. Kawasan rumah Ust. Ibrahim di kepung dari segenap penjuru begitu juga pasukan Komando 69 diarahkan untuk mengepung bahagian belakang rumah Ust. Ibrahim. Dalam suasana begitu, pegawai tinggi dari Bukit Aman yang mengetui operasi tersebut iaitu Dato’ Yahya Yeop bercakap melalui pembesar suara meminta Ust. Ibrahim menyerah diri, lalu Ust. Ibrahim berbincang dengan pengikut-pengikutnya dan mereka sepakat tidak akan keluar untuk menyerah diri, semuanya bersiap sedia untuk syahid.
Jam 5.21 pagi, azan subuh berkumandang di rumah Ust. Ibrahim, suara yang sungguh merdu dan sayu itu menyedarkan sebahagian anggota polis dari Alor Setar, mereka mula curiga dan meragui untuk meneruskan operasi tersebut. Ketika solat subuh, Ust. Ibrahim sendiri menjadi imam dengan suara yang jelas dan lantang, diwaktu itulah seorang pegawai berbangsa India mengeluarkan arahan serangan dumulakan namun arahan tersebut dibantah oleh pegawai bawahannya yang beragama Islam. Selepas selesai menunaikan solat subuh, keadaan hari yang semakin siang operasi mula diperketatkan, ternyata serangan akan mula berlaku dengan menyerlahkan kejijikan rancangan jahat menghapuskan Ust. Ibrahim.
Jam 8.15 pagi, serangan mula dilancarkan setelah mendapat arahan dari pihak atasan, Pegawai Pemerintah Operasi iaitu Dato’ Yahya Yeop mengarahkan kereta perisai mula menyerang dengan merempuh pagar rumah Ust. Ibrahim, serangan tersebut dihalang oleh ayahanda dan sahabat yang lain menyebabkan anggota polis terpaksa berundur sedikit dengan melepaskan tembakan kearah rumah Ust. Ibrahim, diwaktu yang sama 4 orang wanita dan 3 kanak-kanak berlari keluar dari rumah untuk melarikan diri tetapi mereka ditangkap lalu dihumban ke dalam trak polis yang diawasi oleh anjing.
Jam 11.05 pagi, Komando 69 diarahkan menyerang dan pasukan polis mula melepaskan berpuluh-puluh gas pemedih mata kearah rumah Ust. Ibrahim, ketika itulah salah seoarang dari kanak-kanak perempuan telah pengsan apabila terkena bom gas dan mulutnya berbuih, salah seorang dari pengikut Ust. Ibrahim iaitu Cikgu Syafie telah hilang sabar melihat keadaan kanak-kanak tersebut lalu dengan pedang erat ditangan beliau berlari kearah polis tetapi keberanian beliau disambut dengan tembakan dari anggota polis, lalu beliau jatuh dan gugur sebagai syuhada’ pertama dalam peristiwa tersebut.
Keadaan menjadi reda seketika lalu Pegawai Pemerintah Operasi meminta supaya pihak Ust. Ibrahim menghantar wakil untuk berunding, ketika itulah ayah bertemu dengan Ust. Ibrahim meminta penjelasan berhubung permintaan pegawai tersebut, Ust Ibrahim dengan tegas memberitahu ayah bahawa pada hari ini pintu rundingan telah ditutup, beliau tidak akan berunding apa-apa dan tidak akan menyerah diri, lalu ayah membuat keputusan sendiri dengan bertawakkal kepada Allah swt, ayah telah keluar menemui pegawai tersebut yang berada di tepi kereta perisai, tanpa rasa gerun ayah berhadapan dengan pegawai tersebut, ayah mengatakan apa yang perlu dibincang lagi? sedangkan sahabat kami telah ada yang mati syahid, pegawai tersebut terdiam seketika dengan apa yang dikatakan oleh ayah, mungkin dia merasakan ada kebenarannya.
Lalu pegawai tersebut minta supaya 4 orang penjenayah yang berada di rumah Ust. Ibrahim menyerah diri, lalu ayah mempelawa pegawai tersebut untuk masuk dan melihat dengan matanya sendiri samada 4 penjenayah yang dimaksudkan itu ada atau sebaliknya, tetapi pegawai tersebut tidak berminat. Akhirnya ayah masuk ke perkarangan rumah lalu menyuruh kaum muslimat dan kanak-kanak agar berundur ke bahagian belakang rumah, ketika itulah ayah melihat beberapa anggota polis cuba menembak salah seoarang sahabatnya, tanpa berlengah ayah menyerbu kearah anggota polis tersebut dengan pedang yang digenggam erat, alhamdulillah pedang yang erat tersebut sempat singgah pada salah seorang dari anggota polis itu, kemudian bunyi tembakan bertalu-talu disambut dengan laungan ALLAHU AKBAR dari orang kampung. Ayah terlantar selepas ditembusi 14 das tembakan M16, Ust Ibrahim terbunuh dan ramai lagi yang gugur sebagai syuhada’, peluru yang menembusi tubuh ayah sama banyak dengan bilangan para syuhada’ Memali iaitu 14 orang.
Selepas operasi ditamatkan, ayah dihantar ke hospital, berbulan-bulan berada di hospital Alor Setar dan bertukar ke hospital sungai petani, dalam keadaan masih cedera peluru yang di keluarkan dari tubuh ayah sebanyak 14 biji, alhamdulillah ujian ini ayah lalui dengan penuh sabar, berkat kesabaran tersebut ayah tidak pernah rasa sakit walaupun begitu teruk cedera yang dialaminya, sungguh pelik tapi benar.
Kezaliman dan tidak prikemanusiaan tetap dilakukan kepada ayah, walaupun dalam kedaan cedera ayah terus digari di katil hospital bagaikan seorang penjenayah. Mak selalu bawa anak-anak untuk menziarahi ayah, ketika itu saya berusia hampir 2 tahun, saya akan menjerit bila melihat keadaan yang dilakukan kepada ayah, pernah suatu hari kakak yang sulong pergi ke hospital dengan mendukung saya yang masih kecil, bila sampai di pintu kami dihalau oleh anggota polis, BEDEBAH SI ZALIM.
Tidak cukup dengan terseksa di hospital, ayah diugut untuk ditahan dibawah akta keselamatan dalam negeri (ISA) selama 2 tahun, mak menerima dengan penuh redha dan pasrah namun hati seorang isteri tidak terlepas daripada mengalir airmata kesedihan dengan mengangkat tangan mengadu dan memohon pertolongan daripada Allah swt.
Selepas keluar daripada hospital, ayah terus ditahan di kem kemunting, berkat kesabaran dan doa daripada keluarga dan seluruh umat Islam, selepas 6 bulan dalam tahanan ayah dibebasakan tanpa sebab, maka kembalilah ayah ke rumah yang telah lama ditinggalkan, pada saat itu ramailah sahabat-sahabat datang menziarahinya, termasuklah yang kerap datang ketika itu ialah Ust. Nakaie Hj. Ahmad (ketika tu masih dalam PAS), dialah diantara orang yang banyak memberikan sumbangan.
Selepas sembuh dari kecederaan, ayah tidak lagi dapat melakukan kerja-kerja berat, ayah hanya dapat memberikan kuliah dan ceramah sebagai menyambung perjuangan guru-gurunya, cita-citanya untuk mati syahid tidak tercapai walaupun pada adatnya ayah sudah mati dan gugur sebagai syuhada’ dalam peristiwa Memali, namun perancangan Allah lebih hebat dengan meneruskan usia ayah sebagai bukti dan sakti atas kezaliman yang dilakukan oleh pihak pemerintah UMNO/BN keatas rakyatnya sendiri, orang yang sebangsa dan seagama dengan mereka. ADAKAH UMNO/BN MEMBELA AGAMA DAN BANGSA???.
Saya kesal dan malu sekiranya ada anak-anak Memali yang masih hendak menyokong dan bersekongkol dengan UMNO/BN, saya juga hairan dan pelik kenapa orang yang mempunyai didikan agama masih lagi hendak bersama dengan perjuangan Nasionalisma ini.
Ayah terus hidup sebagai pendakwah, setiap hari memberi kuliah dan kadang2 berceramah, didalam ucapannya sentiasa meniti kata-kata untuk terus berjuang sehingga syahid, memang itulah cita-citanya. Ayah tidak pernah rasa takut mahupun gentar dengan ugutan dari pihak berkuasa, penah ayah mengungkapkan “apa yang nak ditakutkan? peluru dah kena tahanan pun dah rasa, cuma tunggu untuk syahid sahaja”.
Pada tarikh 05/05/2001 selepas subuh ayah telah dijemput untuk menyampaikan kuliah di negeri Perlis Indera kayangan, diceritakan oleh anak muridnya bahawa, kuliah pada hari itu cukup tenang dan jelas kata-kata ayah, malah tidak nampak langsung apa-apa yang akan berlaku, suaranya jelas dan kuat, cita-citanya untuk mati syahid tidak tercapai namun Allah swt menjemputnya dalam keadaan yang cukup selesa, lalu ayah dimatikan dalam keadaan sedang menyampaikan kuliah subuh dengan kata-kata yang terakhir “kita mestilah mencari keredhaan Allah swt daripada keredhaan manusia” إنا لله وإنا إليه راجعون
Tarikh inilah yang cukup sedih bagi saya, kerana tidak dapat menatap wajah insan tersayang buat kali terakhir setelah 3 tahun menggilkannya, namun saya redha dan pasrah kerana pada ketika dan saat itu saya sedang berjuang menghabiskan pengajian di Maahad Tahfiz Al-Quran Mansurah Lahore, hanya linangan air mata dan doa mengiringi pemergian ayahanda tercinta buat selama-lamanya.
Ketika itulah Syeikh yang mengajar saya memberikan kata-kata semangat dan ransangan untuk terus tabah dan kuat dalam menghadapi ujian yang amat dahsyat ini, beliaulah yang menjadi ‘ayah’ dalam menenangkan hati dan perasaanku yang amat sedih yang mana pengajianku hanya berbaki 14 muka surat lagi untuk mengkhatamkan 30 juzuk, saya tidak dapat meneruskan pengajian kerana terlalu kecewa tidak dapat membuktikan kepada ayah, namun kekecewaan itu diubati oleh syeikh dengan pujukan dan kata-kata semangat, alhamdulillah berkat kesabaran seminggu selepas peritiwa itu saya berjaya mengkhatamkan 30 juzuk.
bersama Syeikh Syakirullah pada awal tahun 2000..

Mudah-mudahan apa yang saya coretkan ini dapat memberikan semangat baru kepada diri saya dan sahabat-sahabat pembaca sekalian untuk terus istiqamah dalam perjuangan islam, biar kita hidup mulia atau mati sebagai syuhada’.
Akhirnya marilah sama-sama kita sedekah Fatihah kepada arwah ayah saya dan para syuhada’ Memali serta seluruh kaum muslimin dan muslimat, semoga roh mereka sentiasa dicucuri rahmat ilahi. Al-Fatihah!
Sekian Wassalam.
jam 7.50 pagi
Sumber: http://azzuhdi.blogspot.com/

KENANGAN ANDA