25 tahun memali

25 tahun memali

Thursday, April 23, 2009

Perjalanan Hidup Ayahanda Tersayang -Memali...nukilan seorg anak

Oleh: MOHD ZUHDI MAT PIAH
Kuliah Syariah Islamiah Universiti Al-Azhar Tanta


Setiap manusia pasti ada hari-hari bersejarah baginya, samada sejarah itu menggembirakan atau sebaliknya, alhamdulillah baru sahaja lima hari saya menyambut kegembiraan dengan datangnya hari kelahiran yang ke24, namun hari ini datang pula saat yang menyedihkan bagi diriku, keluarga dan semua yang mengenali ayahanda tercinta.
Mat Piah Yunus atau lebih dikenali dengan panggilan pakteh dilahirkan pada 2 Ogos 1946 merupakan seorang ayah yang cukup penyayang dan tegas kepada anak-anaknya terutama sekali dalam bab solat lima waktu, pernah sekali saya melihat abang dirotan kerana meninggalkan solat. (alhamdulillah diriku tidak pernah dirotan oleh ayah hehe…).
Ayah bukanlah seorang graduan dari mana-mana universiti tetapi ayah amat mementingkan ilmu agama dan beramal dengan setiap ilmu yang diperolehinya, sebab itulah ayah selalu bersama dengan ‘alim ulamak dan para ustaz yang dikenalinya.
Ketika tinggal di Parit Panjang berdekatan dengan Pondok Lanai, ayah selalu mendampingi Tuan Guru Haji Omar Zuhdi salah seorang ulamak yang terkenal di negeri kedah, di sinilah ayah banyak menimba ilmu agama serta mempelajari kitab-kitab turath yang nipis mahupun tebal dari guru kesayangannya itu dan di sini jugalah tempat saya dilahirkan, seterusnya pada pertengahan tahun 1985 selepas tinggal di sini agak lama kami sekeluarga pulang semula ke tempat asal ayah iaitu kampung Tanjung Pari.
Sedikit Coretan Tentang Peristiwa Memali
Ketika di kampung, ayah bersahabat dan terlalu akrab dengan Ust. Ibrahim Mahmod atau lebih dikenali Ibrahim Libya, boleh dikatakan ayah selalu bersama beliau dan mengikuti pengajian yang disampaikannya, akan tetapi pertemuan dan keakraban mereka tidak lama kerana beliau terlebih dahulu dipanggil oleh Allah swt dalam peristiwa bersejarah yang telah mengorbankan 14 nyawa sebagai syuhada’ di Memali, Baling Kedah.
Peristiwa yang berlaku hampir 23 tahun yang lalu sungguh segar dalam ingatanku, walaupun ketika itu saya baru berusia hampir dua tahun, kerana ayah merupakan mangsa yang terlibat secara langsung, dan ayah merupakan salah seorang daripada saksi utama dalam peristiwa pembunuhan di Memali tersebut.


Peristiwa ini terjadi ketika Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysiaberada di Negara China, Dato’ Seri Musa Hitam menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato’ Radzi Ahmad selaku Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Apa yang boleh saya kongsikan dengan para pembaca sekalian, peristiwa pembunuhan yang berlaku di Memali adalah rentetan daripada sifat tidak senang hati pihak pemerintah terhadap perkembangan dakwah yang disampaikan oleh Ust. Ibrahim Mahmod atas pentas Parti Islam SeMalaysia (PAS), kebimbangan pemerintah pada ketika itu amat jelas dengan ugutan hendak menahan beliau di bawah akta keselamatan dalam negeri (ISA), tetapi keikhlasan beliau dalam menyampaikan dakwah amat terserlah, beliau tidak pernah gentar dengan berbagai-bagai ugutan dari pihak pemerintah yang zalim pada ketika itu malah beliau tetap meneruskan kerja dakwahnya.
Ust. Ibrahim tidak pernah merompak, tidak pernah membunuh, tidak pernah melarikan anak gadis orang dan tidak pernah melakukan sebarang jenayah, malah beliau pernah berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri sebagai Timbalan Pengarah di Institut Dakwah Islamiah Malaysia. Sebagaimana telah dijangka bahawa Ust. Ibrahim tidak sanggup berada lama di bawah ikatan pemerintah yang zalim dan tidak berpaksi kepada tuntutan agama, lalu meninggalkan segala kedudukannya untuk balik ke kampung halaman mencurahkan bakti sebagai pendakwah, pendidik dan bergerak aktif dalam politik Islam.
Kenapa perlu menahan Ust. Ibrahim? Apa jenayah yang telah dilakukan oleh beliau? Terbukti beliau tidak pernah melakukan jenayah, maka tiada sebab untuk beliau menyerah diri dan tunduk kepada akta zalim ISA yang sememangnya tidak akan mendapat keadilan di mana-mana mahkamah dalam Negara Malaysia.
Secara ringkasnya pada 18 Nov 1985 sekitar jam 7.35 malam, 3600 kekuatan pasukan polis dari pelbagai bahagian termasuk FRU Pulau Pinang, Senoi Prak, Komando 69 bersiap sedia menerima arahan. Seorang pegawai tinggi dari Bukit Aman mengetuai ‘Operasi Hapus’ ini dengan bantuan beberapa orang lagi pegawai dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Arahan yang dikeluarkan adalah menyerang Kem Komunis dalam daerah Baling, arahan ini ternyata palsu kerana sebenarnya serangan tersebut disasarkan kearah Ust. Ibrahim Mahmod, pengikut-pengikutnya dan sesiapa sahaja yang hadir di rumahnya.
Malam itu ayah berada di rumah Ust. Ibrahim bersama pengikut-pengikutnya yang lain untuk mengikuti pengajian, selepas habis pengajian ayah tidak terus pulang ke rumah malah tetap bersama-sama sahabat yang lain bermalam di rumah Ust. Ibrahim kerana memikirkan kemungkinan akan berlaku sesuatu yang tidak dijangka.
Dalam suasana keheningan malam itu, Ust Ibrahim mengarahkan pengikut-pengikutnya membuat persiapan dengan berwuduk, kemudian mereka menunaikan solat hajat dan membaca surah yasin dan berzikir. Seterusnya Ust. Ibarahim memberikan ucapan dengan mengatakan bahawa, beliau lebih rela bersyahadah (mati syahid) daripada menyerahkan dirinya kepada kezaliman pemerintah pada ketika itu, lalu beliau meminta sesiapa yang curiga dan ragu dengan pendiriannya untuk menempah syahid boleh meninggalkan tempat ini, namun tiada seorang pun yang mahu berganjak dari tempat tersebut, laungan ALLAHU AKBAR terus bergema bertalu-talu memecahkan keheningan malam di kampung Memali, yang hadir lebih memilih jalan syahid daripada terus hidup mengabdikan diri ke jalan yang hina.
Awal pagi 19 Nov 1985, 3600 anggota polis berbagai unit tiba di kampung Memali dengan kelengkapan senjata automatik dan kereta perisai, lalu mereka mengepung kawasan kampung tersebut dengan sekatan jalan raya dan sebagainya. Kawasan rumah Ust. Ibrahim di kepung dari segenap penjuru begitu juga pasukan Komando 69 diarahkan untuk mengepung bahagian belakang rumah Ust. Ibrahim. Dalam suasana begitu, pegawai tinggi dari Bukit Aman yang mengetui operasi tersebut iaitu Dato’ Yahya Yeop bercakap melalui pembesar suara meminta Ust. Ibrahim menyerah diri, lalu Ust. Ibrahim berbincang dengan pengikut-pengikutnya dan mereka sepakat tidak akan keluar untuk menyerah diri, semuanya bersiap sedia untuk syahid.
Jam 5.21 pagi, azan subuh berkumandang di rumah Ust. Ibrahim, suara yang sungguh merdu dan sayu itu menyedarkan sebahagian anggota polis dari Alor Setar, mereka mula curiga dan meragui untuk meneruskan operasi tersebut. Ketika solat subuh, Ust. Ibrahim sendiri menjadi imam dengan suara yang jelas dan lantang, diwaktu itulah seorang pegawai berbangsa India mengeluarkan arahan serangan dumulakan namun arahan tersebut dibantah oleh pegawai bawahannya yang beragama Islam. Selepas selesai menunaikan solat subuh, keadaan hari yang semakin siang operasi mula diperketatkan, ternyata serangan akan mula berlaku dengan menyerlahkan kejijikan rancangan jahat menghapuskan Ust. Ibrahim.
Jam 8.15 pagi, serangan mula dilancarkan setelah mendapat arahan dari pihak atasan, Pegawai Pemerintah Operasi iaitu Dato’ Yahya Yeop mengarahkan kereta perisai mula menyerang dengan merempuh pagar rumah Ust. Ibrahim, serangan tersebut dihalang oleh ayahanda dan sahabat yang lain menyebabkan anggota polis terpaksa berundur sedikit dengan melepaskan tembakan kearah rumah Ust. Ibrahim, diwaktu yang sama 4 orang wanita dan 3 kanak-kanak berlari keluar dari rumah untuk melarikan diri tetapi mereka ditangkap lalu dihumban ke dalam trak polis yang diawasi oleh anjing.
Jam 11.05 pagi, Komando 69 diarahkan menyerang dan pasukan polis mula melepaskan berpuluh-puluh gas pemedih mata kearah rumah Ust. Ibrahim, ketika itulah salah seoarang dari kanak-kanak perempuan telah pengsan apabila terkena bom gas dan mulutnya berbuih, salah seorang dari pengikut Ust. Ibrahim iaitu Cikgu Syafie telah hilang sabar melihat keadaan kanak-kanak tersebut lalu dengan pedang erat ditangan beliau berlari kearah polis tetapi keberanian beliau disambut dengan tembakan dari anggota polis, lalu beliau jatuh dan gugur sebagai syuhada’ pertama dalam peristiwa tersebut.
Keadaan menjadi reda seketika lalu Pegawai Pemerintah Operasi meminta supaya pihak Ust. Ibrahim menghantar wakil untuk berunding, ketika itulah ayah bertemu dengan Ust. Ibrahim meminta penjelasan berhubung permintaan pegawai tersebut, Ust Ibrahim dengan tegas memberitahu ayah bahawa pada hari ini pintu rundingan telah ditutup, beliau tidak akan berunding apa-apa dan tidak akan menyerah diri, lalu ayah membuat keputusan sendiri dengan bertawakkal kepada Allah swt, ayah telah keluar menemui pegawai tersebut yang berada di tepi kereta perisai, tanpa rasa gerun ayah berhadapan dengan pegawai tersebut, ayah mengatakan apa yang perlu dibincang lagi? sedangkan sahabat kami telah ada yang mati syahid, pegawai tersebut terdiam seketika dengan apa yang dikatakan oleh ayah, mungkin dia merasakan ada kebenarannya.
Lalu pegawai tersebut minta supaya 4 orang penjenayah yang berada di rumah Ust. Ibrahim menyerah diri, lalu ayah mempelawa pegawai tersebut untuk masuk dan melihat dengan matanya sendiri samada 4 penjenayah yang dimaksudkan itu ada atau sebaliknya, tetapi pegawai tersebut tidak berminat. Akhirnya ayah masuk ke perkarangan rumah lalu menyuruh kaum muslimat dan kanak-kanak agar berundur ke bahagian belakang rumah, ketika itulah ayah melihat beberapa anggota polis cuba menembak salah seoarang sahabatnya, tanpa berlengah ayah menyerbu kearah anggota polis tersebut dengan pedang yang digenggam erat, alhamdulillah pedang yang erat tersebut sempat singgah pada salah seorang dari anggota polis itu, kemudian bunyi tembakan bertalu-talu disambut dengan laungan ALLAHU AKBAR dari orang kampung. Ayah terlantar selepas ditembusi 14 das tembakan M16, Ust Ibrahim terbunuh dan ramai lagi yang gugur sebagai syuhada’, peluru yang menembusi tubuh ayah sama banyak dengan bilangan para syuhada’ Memali iaitu 14 orang.
Selepas operasi ditamatkan, ayah dihantar ke hospital, berbulan-bulan berada di hospital Alor Setar dan bertukar ke hospital sungai petani, dalam keadaan masih cedera peluru yang di keluarkan dari tubuh ayah sebanyak 14 biji, alhamdulillah ujian ini ayah lalui dengan penuh sabar, berkat kesabaran tersebut ayah tidak pernah rasa sakit walaupun begitu teruk cedera yang dialaminya, sungguh pelik tapi benar.
Kezaliman dan tidak prikemanusiaan tetap dilakukan kepada ayah, walaupun dalam kedaan cedera ayah terus digari di katil hospital bagaikan seorang penjenayah. Mak selalu bawa anak-anak untuk menziarahi ayah, ketika itu saya berusia hampir 2 tahun, saya akan menjerit bila melihat keadaan yang dilakukan kepada ayah, pernah suatu hari kakak yang sulong pergi ke hospital dengan mendukung saya yang masih kecil, bila sampai di pintu kami dihalau oleh anggota polis, BEDEBAH SI ZALIM.
Tidak cukup dengan terseksa di hospital, ayah diugut untuk ditahan dibawah akta keselamatan dalam negeri (ISA) selama 2 tahun, mak menerima dengan penuh redha dan pasrah namun hati seorang isteri tidak terlepas daripada mengalir airmata kesedihan dengan mengangkat tangan mengadu dan memohon pertolongan daripada Allah swt.
Selepas keluar daripada hospital, ayah terus ditahan di kem kemunting, berkat kesabaran dan doa daripada keluarga dan seluruh umat Islam, selepas 6 bulan dalam tahanan ayah dibebasakan tanpa sebab, maka kembalilah ayah ke rumah yang telah lama ditinggalkan, pada saat itu ramailah sahabat-sahabat datang menziarahinya, termasuklah yang kerap datang ketika itu ialah Ust. Nakaie Hj. Ahmad (ketika tu masih dalam PAS), dialah diantara orang yang banyak memberikan sumbangan.
Selepas sembuh dari kecederaan, ayah tidak lagi dapat melakukan kerja-kerja berat, ayah hanya dapat memberikan kuliah dan ceramah sebagai menyambung perjuangan guru-gurunya, cita-citanya untuk mati syahid tidak tercapai walaupun pada adatnya ayah sudah mati dan gugur sebagai syuhada’ dalam peristiwa Memali, namun perancangan Allah lebih hebat dengan meneruskan usia ayah sebagai bukti dan sakti atas kezaliman yang dilakukan oleh pihak pemerintah UMNO/BN keatas rakyatnya sendiri, orang yang sebangsa dan seagama dengan mereka. ADAKAH UMNO/BN MEMBELA AGAMA DAN BANGSA???.
Saya kesal dan malu sekiranya ada anak-anak Memali yang masih hendak menyokong dan bersekongkol dengan UMNO/BN, saya juga hairan dan pelik kenapa orang yang mempunyai didikan agama masih lagi hendak bersama dengan perjuangan Nasionalisma ini.
Ayah terus hidup sebagai pendakwah, setiap hari memberi kuliah dan kadang2 berceramah, didalam ucapannya sentiasa meniti kata-kata untuk terus berjuang sehingga syahid, memang itulah cita-citanya. Ayah tidak pernah rasa takut mahupun gentar dengan ugutan dari pihak berkuasa, penah ayah mengungkapkan “apa yang nak ditakutkan? peluru dah kena tahanan pun dah rasa, cuma tunggu untuk syahid sahaja”.
Pada tarikh 05/05/2001 selepas subuh ayah telah dijemput untuk menyampaikan kuliah di negeri Perlis Indera kayangan, diceritakan oleh anak muridnya bahawa, kuliah pada hari itu cukup tenang dan jelas kata-kata ayah, malah tidak nampak langsung apa-apa yang akan berlaku, suaranya jelas dan kuat, cita-citanya untuk mati syahid tidak tercapai namun Allah swt menjemputnya dalam keadaan yang cukup selesa, lalu ayah dimatikan dalam keadaan sedang menyampaikan kuliah subuh dengan kata-kata yang terakhir “kita mestilah mencari keredhaan Allah swt daripada keredhaan manusia” إنا لله وإنا إليه راجعون
Tarikh inilah yang cukup sedih bagi saya, kerana tidak dapat menatap wajah insan tersayang buat kali terakhir setelah 3 tahun menggilkannya, namun saya redha dan pasrah kerana pada ketika dan saat itu saya sedang berjuang menghabiskan pengajian di Maahad Tahfiz Al-Quran Mansurah Lahore, hanya linangan air mata dan doa mengiringi pemergian ayahanda tercinta buat selama-lamanya.
Ketika itulah Syeikh yang mengajar saya memberikan kata-kata semangat dan ransangan untuk terus tabah dan kuat dalam menghadapi ujian yang amat dahsyat ini, beliaulah yang menjadi ‘ayah’ dalam menenangkan hati dan perasaanku yang amat sedih yang mana pengajianku hanya berbaki 14 muka surat lagi untuk mengkhatamkan 30 juzuk, saya tidak dapat meneruskan pengajian kerana terlalu kecewa tidak dapat membuktikan kepada ayah, namun kekecewaan itu diubati oleh syeikh dengan pujukan dan kata-kata semangat, alhamdulillah berkat kesabaran seminggu selepas peritiwa itu saya berjaya mengkhatamkan 30 juzuk.
bersama Syeikh Syakirullah pada awal tahun 2000..

Mudah-mudahan apa yang saya coretkan ini dapat memberikan semangat baru kepada diri saya dan sahabat-sahabat pembaca sekalian untuk terus istiqamah dalam perjuangan islam, biar kita hidup mulia atau mati sebagai syuhada’.
Akhirnya marilah sama-sama kita sedekah Fatihah kepada arwah ayah saya dan para syuhada’ Memali serta seluruh kaum muslimin dan muslimat, semoga roh mereka sentiasa dicucuri rahmat ilahi. Al-Fatihah!
Sekian Wassalam.
jam 7.50 pagi
Sumber: http://azzuhdi.blogspot.com/

4 comments:

haizum said...

sungguh detail perjalanan kisah memali walaupun saudara masih kecil dan tidak mengerti apa yang berlaku ketika itu, hanya ALLAH s.w.t. sahaja yang tahu siapa yang benar dan mereka yang berjihad kerana Nya...

haizum said...

Sungguh detail juga nukilan ustaz mengenai peristiwa mamali walaupun masih kecil dan tidak mengetahui apa yang berlaku pada ketika itu, sesungguhnya Allah s.w.t maha mengetahui siapa yang benar dan siapa yg berjuang kerana Nya

haizum said...

Assalamualaikum w.b.t ustaz...
semoga ustaz sihat dan dapat meneruskan pengajian di al-Azhar dengan baik..utk pengetahuan ustaz, saya merupakan salah seorang makmum ustaz di presint 18R8, Putrajaya pada bulan ramadhan baru2 ini...
saya terjumpa nukilan ustaz ini, baru saya mengetahui kisah sbnar yg berlaku, selama ini pemahaman saya adalah seperti apa yg ustaz nyatakan setelah saya diberi peluang menonton video kisah tersebut semasa berkursus 2 tahun lepas....sesungguhnya Allah s.w.t sentiasa bersama dengan mereka yg benar, dan semoga mereka yg mati keranaNya mendapat darjat mati as-syahid fi sabilillah...
-haizum28@gmail.com

krinchie said...

Asalamualaikum Ustaz Zuhdi,saya adalah kariah Madrasah AsSadiqin Tasik Puteri,pengikut dan makmum Ustaz,berbahgialah Arruhi ayahanda Ustaz dan barakah Allah melimpah keatas ibu Ustaz,yg mempunyai anak seperti Ustaz,membaca nukilan Ustaz seolah olah menonton video dari kacamata anak yang sangat redha akan perjuangan ayahandanya menegakkan Islam bersama2 syuhada2 pada zaman ini,Allahuakbar

KENANGAN ANDA